LANGKAWI: Sebuah feri penumpang yang membawa 312 penumpang dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis dilaporkan terkandas ketika menghampiri jeti Kuala Perlis hari ini.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, bagaimanapun, feri itu berjaya ditunda ke terminal Kuala Perlis ketika ini dengan bantuan bot nelayan.

Beliau berkata, feri itu dipercayai bertolak dari Langkawi pada jam 8 malam dan ketika hampir sampai di jeti, feri berkenaan tersangkut tali pukat nelayan di Kuala Perlis.

"Kejadian itu turut menyebabkan feri berkenaan terkandas hampir dua jam dan bot nelayan sedang menunda masuk ke terminal feri Kuala Perlis ketika ini.

"Konsortium juga turut memohon bantuan daripada penyelam dari pihak Bomba untuk memotong pukat yang sangkut di propeller feri," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Sehubungan itu, pihak konsortium meminta jasa baik nelayan supaya tidak memasang pukat di laluan feri kerana ia amat membahayakan keselamatan penumpang.