ALOR SETAR: Perkhidmatan feri bagi laluan Kuala Kedah ke Langkawi di Terminal Feri Kuala Kedah akan beroperasi semula bermula Khamis depan.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Baharin Baharom berkata buat masa ini perkhidmatan feri bagi laluan itu akan dibuka dengan dua trip perjalanan sehari.

"Kami membuka semula laluan ini bagi membolehkan agensi kerajaan atau swasta membuat persiapan tempat bagi tujuan saringan COVID-19.

"Saya ingin menasihatkan supaya semua penumpang yang hendak ke Langkawi berada di terminal dua jam lebih awal bagi mengelakkan mereka bersesak di pusat saringan COVID-19 seperti yang berlaku di Kuala Perlis sebelum ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, saringan COVID-19 di pintu masuk ke pulau berkenaan sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada penumpang di dalam feri termasuk kepada penduduk tetap Langkawi.

"Saya juga mohon agar berita kesesakan di Terminal Feri Kuala Perrlis yang lama tidak dijadikan propaganda untuk menakutkan pelancong ke Langkawi ketika ini," katanya.

Pada 6 Sept lalu, perkhidmatan feri di Terminal Feri Kuala Kedah dihentikan selama dua minggu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Kedah dan orang ramai yang ingin ke Langkawi perlu menggunakan perkhidmatan feri di Kuala Perlis, Perlis.