Semasa memilih pemimpin-pemimpin untuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO, delegasi perlu memikirkan tentang masa depan negara.

Ini adalah pesanan daripada Menteri Besar Kedah dan calon Naib Presiden UMNO Datuk Mukhriz Mahathir kepada lebih 230,000 delegasi yang bakal mengundi hari ini.

"Semasa menulis nombor pada kertas undi, untuk jangka masa pendek, fikir tentang PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) dan untuk jangka masa panjang, fikir tentang anak cucu kita," katanya dalam program bual bicara Agenda AWANI pada Jumaat.

Dalam masa yang sama, Mukhriz juga berkongsi harapannya untuk masa depan politik UMNO.

"Apa-apa tradisi yang kita rasa mengekang kemaraan UMNO ke hadapan, sudah masa untuk diketepikan," katanya.

Dengan perubahan landskap politik baru, Mukhriz berkata UMNO perlu meremajakan parti.

Bagaimanapun, Mukhriz memberi amaran bahawa usaha tersebut perlu berhati-hati.

"Tetapi kena hati hati jangan terbuka terlalu luas. Kita tidak mahu remaja yang tidak berkongsi jiwa dan hati kita yang tidak bersama dengan UMNO. Takut parti sendiri lari dari pangkal jalan."