IPOH: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan menjalinkan kerjasama dengan Wisma Putra untuk menayangkan filem berunsurkan kemasyarakatan dan kenegaraan di luar negara, yang dijangka akan dilaksanakan tahun depan.

Pengerusinya Zakaria Abdul Hamid berkata pihaknya akan menghantar filem-filem yang terpilih ke Kedutaan Malaysia terlebih dahulu, sebelum ditayangkan di mana-mana negara yang bersesuaian.

"Ini sebenarnya sesuatu yang agak ketinggalan kerana kita mempunyai ruang untuk mempromosi filem bukan hanya di festival sahaja, tetapi boleh mengunakan Kedutaan Malaysia menerusi Unit Budaya untuk ditayangkan di negara yang dikenal pasti.

"Kita juga belum menetapkan berapa jumlah filem yang akan ditayangkan di luar negara tetapi secara prinsipnya bekas Menteri Komunikasi Multimedia dan Komunikasi yang kini Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah, sudah bersetuju untuk membantu mempromosikan filem keluaran Malaysia di luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham Mamat Khalid, Hasmah Hassan di kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1 di sini hari ini.

Pengarah dan penerbit filem Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, 58, meninggal dunia kira-kira pukul 12.30 tengah malam Sabtu, akibat serangan jantung dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh di sini pada pukul 2.25 petang semalam.

Sementara itu, Zakaria berkata Finas akan mengadakan perbincangan dengan ahli keluarga Allahyarham Mamat Khalid untuk menjalankan penggambaran filem epik bertajuk 'Pasir Salak Pasir Berdarah' yang mana skrip filem itu sudah siap sepenuhnya sejak 2017.

"Finas memberi pembiayaan kepada Allahyarham Mamat Khalid untuk menyiapkan satu skrip filem berunsurkan kenegaraan, semuanya sudah siap cuma filem itu belum sempat menjalani penggambaran sahaja lagi.

"Insya-Allah tahun depan sekiranya anak arwah Mohd Khaled Amen berani untuk meneruskan kerja-kerja penggambaran itu, kita boleh mempertimbangkan dana untuk membiayai filem tersebut, dan ia mungkin sebagai 'hadiah' kepada Allahyarham," katanya menambah penggambaran filem epik itu memerlukan perbelanjaan kira-kira RM4 juta.

Sementara itu, Hasmah berkata beliau sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada Finas kerana menyampaikan sumbangan, seterusnya menghargai pekerja seni seperti arwah suaminya.

"Sebenarnya ini merupakan sumbangan kali kedua, kali pertama semasa arwah terlantar sakit di hospital dua tahun lalu," katanya.

-- BERNAMA