KUALA LUMPUR: Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit (POTS) di Filipina (POTS Filipina 2022) yang disertai wakil Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah berakhir pada Rabu

Dalam satu kenyataan, MPOC berkata POTS Filipina 2022 bertujuan untuk mengumpulkan penggiat industri minyak sawit Malaysia yang bereputasi untuk bertemu dengan pengguna sedia ada dan pengguna berpotensi minyak sawit di Filipina daripada pelbagai sektor dengan tujuan menjalinkan hubungan perniagaan bagi tempoh jangka panjang.

Penceramah pada seminar yang berlangsung selama satu hari itu terdiri daripada peneraju industri tempatan terkemuka dan pakar antarabangsa dari Malaysia, Eropah dan Filipina.

Dalam ucaptamanya, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin menekankan mengenai kepentingan Filipina sebagai rakan dagang dan pengguna minyak sawit Malaysia.

"Filipina adalah pengimport keenam terbesar minyak sawit Malaysia pada tahun 2021. Dengan jumlah import yang direkodkan hampir 580,000 tan metrik pada 2021, ia adalah bukti bahawa Filipina merupakan rakan dagang penting kepada industri minyak sawit Malaysia," katanya.

Minyak sawit adalah minyak utama yang digunakan di Filipina diikuti oleh minyak kelapa tempatan, menyumbang sebanyak 77 peratus daripada jumlah penggunaan semua minyak dan lemak.

Zuraida berkata POTS Filipina menyediakan platform bagi mereka dalam perniagaan minyak dan lemak untuk bertemu dan meneroka bukan sahaja untuk menjalinkan kerjasama dan peluang perniagaan tetapi juga mewujudkan perkongsian perdagangan.

Beliau meluahkan keyakinan bahawa acara itu akan meningkatkan kerjasama antara pemain industri minyak dan lemak Malaysia dan Filipina.

"Acara tersebut menawarkan komuniti perniagaan terutamanya dari Malaysia untuk mensinergikan dan mengukuhkan perkongsian sedia ada yang telah dipupuk selama ini serta meneroka potensi baharu untuk menjalinkan kerjasama," katanya.

Bertemakan 'Addressing Philippines' Oils and Fats Diversity Through Malaysian Palm Oil', POTS Filipina 2022 berhasrat untuk mewujudkan dan terus melengkapkan keperluan minyak dan lemak Filipina yang semakin meningkat berikutan pertumbuhan ekonomi negara itu yang pesat membangun.

-- BERNAMA