MANILA: Filipina menerima penghantaran pertama vaksin COVID-19 pada Ahad, antara negara terakhir di Asia Tenggara menerima vaksin walaupun jumlah jangkitan dan kematian akibat virus berkenaan merupakan yang kedua tertinggi rantau ini.

Sebuah pesawat tentera China yang membawa 600,000 dos vaksin yang disumbangkan oleh China tiba di pangkalan udara di Manila, pada Ahad petang.

Presiden Rodrigo Duterte dan pegawai tertinggi Kabinet antara yang berada di lokasi bagi menyambut ketibaan vaksin dari Sinovac Biotech Ltd itu.

"Ketibaan pesawat itu membawa harapan yang kita akhirnya boleh kembali kepada kehidupan seperti biasa," kata jurucakap presiden, Harry Roque.

Petugas barisan hadapan dalam kalangan petugas sektor kesihatan dan pegawai atasan kerajaan yang diketuai oleh setiausaha kesihatan, dijadualkan menerima suntikan di enam hospital di Metropolitan Manila pada Isnin.

Selain vaksin yang disumbangkan dari Sinovac Biotech, Filipina akan menerima 525,600 dos vaksin COVID-19 dari AstraZeneca yang dijadualkan tiba pada Isnin, kata Roque.

Pentadbiran Duterte sebelum ini dikritik kerana lewat menguruskan dan mendapatkan vaksin, malah lebih lewat daripada negara Asia Tenggara lain yang lebih kecil dan miskin seperti Kemboja, Myanmar dan Laos.

Penghantaran vaksin tersebut sebelum ini ditangguhkan kerana tidak mendapat kelulusan dari Pentadbiran Makanan dan Dadah Manila.