KUALA LUMPUR:Firma penarafan antarabangsa Fitch Ratings menyemak turun penarafan Malaysia daripada "A-" kepada "BBB+" dengan unjuran stabil pada Jumaat.

Dalam analisisnya, semakan turun berkenaan dibuat berdasarkan krisis COVID-19 menjejaskan beberapa metrik kredit utama Malaysia.

"Pihak berkuasa bertindak pantas untuk menguruskan krisis dengan menyediakan langkah bantuan kepada individu dan perniagaan terjejas," jelas Fitch Ratings.

Bagaimanapun kesan COVID-19 kepada ekonomi Malaysia adalah besar dan ia membebankan tekanan fiskal negara, seperti mana negara-negara lain.

Fitch Ratings juga berpendapat, walaupun Belanjawan 2021 diluluskan untuk melaksanakan langkah bantuan COVID-19, ketidaktentuan politik susulan daripada perubahan dalam kerajaan pada Mac lalu memberi tekanan kepada jangkaan dasar serta prospek penambahbaikan dalam piawaian tadbir urus.

Firma tersebut juga meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia boleh menyusut kepada 6.1 peratus pada 2020 sebelum melantun kepada 6.7 peratus pada 2021, dengan pemulihan dalam projek infrastruktur serta eksport barangan dan komoditi.