KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa agar permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing disambung semula dengan segera bagi memastikan industri yang memerlukan pekerja berpeluang mengekalkan operasi perniagaan dan memenuhi permintaan dalam tempahan mereka.

Gesaan itu dibuat berikutan pengumuman oleh Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar pada 18 Mac, 2023 berhubung penggantungan sementara permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing sehingga diberitahu kelak yang telah mengejutkan industri.

Penggantungan itu dibuat bagi membolehkan majikan yang mempunyai kuasa untuk meluluskan kuota membuat pengaturan yang perlu dalam membawa masuk pekerja mereka.

"Kerajaan mestilah mengiktiraf kelulusan kuota adalah sah untuk tempoh 18 bulan dari tarikh kelulusan, yang memberi masa yang diperlukan kepada pihak industri membawa masuk pekerja, kadangkala secara berkumpulan, bagi memenuhi keperluan pengeluaran yang berubah-ubah," kata Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, membekukan permohonan dan kelulusan sehingga kesemua 995,396 pekerja kuota yang diluluskan telah tiba, akan menghalang orang lain mendapatkan pekerja serta mereka yang mempunyai pekerja yang pulang daripada menggantikan pekerja bagi mengekalkan operasi perniagaan untuk 18 bulan akan datang.

Beliau juga berkata majikan yang mempunyai kuota mungkin tidak semestinya membawa masuk pekerja mereka dengan segera atas pelbagai sebab.

Ini termasuk penangguhan dalam proses mendapatkan pekerja di negara sumber; kelewatan dalam pengeluaran visa oleh Jabatan Imigresen; penangguhan mobilisasi pekerja di negara sumber; dan kelembapan dalam permintaan menyebabkan kurang mendesak untuk membawa masuk pekerja dengan segera.

Soh berkata kerajaan sepatutnya membabitkan industri bagi memahami situasi sebelum membuat sebarang keputusan.

Berdasarkan data yang dikongsi oleh Kementerian Sumber Manusia, sejumlah 995,396 kelulusan telah diberikan kepada pelbagai sektor pada 14 Mac, 2023, yang mana ia turut merangkumi kelulusan yang diberikan sebelum Pelan Kelonggaran.

Sektor pembuatan merangkumi 387,122 pekerja.

Walaupun sektor itu memiliki jumlah kelulusan yang tertinggi, FMM menjangkakan sektor tersebut akan terus memerlukan pekerja untuk mengisi jurang tenaga kerja kerana sektor pembuatan mengalami penurunan mendadak sebanyak 44 peratus kepada 391,831 pekerja asing pada 2021 berbanding 697,124 pekerja asing pada 2019 sebelum pandemik COVID-19.

Ia juga untuk memenuhi beberapa pelaburan baharu yang masih memerlukan tenaga kerja berkemahiran rendah untuk proses tertentu dalam operasi mereka.

"Oleh itu, pihak industri merayu kerajaan untuk menyambung semula permohonan dan kelulusan pekerja asingbagi memenuhi keperluan pekerja yang dipacu melalui pasaran," katanya.

Sebelum pengumuman terbaharu kerajaan, pihak industri memuji langkah kerajaan memperkenalkan Program Kelonggaran Pengambilan Pekerja Asing dari 17 Jan, 2023 hingga 31 Mac, 2023 bagi menangani kekurangan tenaga kerja yang mendesak.

Program oleh kerajaan itu adalah positif yang mana dalam Tinjauan Keadaan Perniagaan Separuh Kedua 2022 FMM baru-baru ini yang dijalankan pada Januari-Februari 2023, sebanyak 89 peratus daripada responden yang menggaji pekerja asing mengesahkan bahawa mereka telah dapat memenuhi keperluan pekerja asing dan mendapatkan kelulusan kuota mereka.

Penemuan daripada tinjauan itu juga mendapati akses kepada pekerja asing atau kekurangan tenaga kerja bukan lagi sebagai risiko paling utama terhadap pemulihan dan pertumbuhan perniagaan pada 2023.

-- BERNAMA