KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan untuk menggunakan kuasa di bawah Ordinan Darurat bagi menyokong dan memudahkan sektor perniagaan dan mengekalkan tahap keyakinan pelabur asing dan domestik.

Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata ia adalah penting pada masa ini supaya perniagaan berupaya mengekalkan operasi, merangsang pemulihan perniagaan dan memelihara sumber pendapatan rakyat.

"Kami bimbang dengan pengumuman Menteri Sumber Manusia (Datuk Seri M Saravanan) pada 18 Feb mengenai pewartaan undang-undang berkaitan perumahan warga asing, yang antaranya mewajibkan majikan untuk memindahkan pekerja ke penginapan sementara dan menanggung semua kos yang berkaitan," katanya dalam kenyataan semalam.

Soh berkata, pihak industri percaya bahawa Ordinan Darurat telah digunakan secara tidak sesuai untuk mendesak perubahan di samping mengenakan hukuman keras tanpa mengambil kira usaha dan cabaran yang dihadapi industri dalam melaksanakan penyesuaian yang diperlukan bagi memenuhi keperluan di bawah Akta 446.

Sehubungan itu, beliau berkata FMM telah memohon tempoh penangguhan selama 12 bulan terhadap penguatkuasaan itu untuk membolehkan industri dan pihak berkuasa bekerjasama menyelesaikan perkara ini dengan pelan tindakan yang terperinci daripada industri mengenai strategi pematuhan mereka.

"Perlu diakui bahawa memindahkan pekerja ke penginapan sementara hanyalah satu langkah penyelesaian sementara dan terdapat pertimbangan lain yang perlu diambil kira seperti kos dan logistik atau pengaturan tadbir yang akan menyebabkannya lebih mencabar kepada majikan untuk diuruskan," katanya.

Beliau berkata FMM juga mahu usaha penguatkuasaan oleh kementerian dan agensi yang diberi kuasa diperkemaskan dan dilaksanakan mengikut garis panduan standard dan selaras dengan keperluan umum undang-undang.

-- BERNAMA