KUALA LUMPUR: Tindakan mengitar semula isu lama seperti kontroversi National Feedlot Corporation (NFC) perlu dihentikan sekiranya Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mahu memenangkan parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub mengakui NFC merupakan isu nasional namun pada waktu ini, kenaikan harga barang, kos sara hidup tinggi dan tiada kenaikan gaji lebih dilihat menjadi kebimbangan rakyat.

"Inilah sebenarnya senjata utama kepada pemimpin parti politik untuk mendapatkan sokongan dan mencari pengaruh rakyat jika mereka mampu menangani isu-isu rakyat dengan kadar segera.

"Apa yang rakyat dapat dalam tempoh segera jika memperjuangkan isu NFC ini secara aktif di peringkat nasional?

"Saya tak nampak rakyat akan memberi tumpuan dan fokus kepada isu ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, kemunculan semula Rafizi sepatutnya perlu memberi impak kepada ahli PKR dan rakyat keseluruhannya yang lebih mementingkan soal kehidupan mereka berbanding isu-isu politik.

"Inilah sebenarnya senjata utama kepada pemimpin parti politik untuk mendapatkan sokongan dan mencari pengaruh rakyat jika mereka mampu menangani isu-isu rakyat dengan kadar segera," ujarnya.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan Maybank Singapore Limited menarik balik samannya terhadap Pengerusi NFC, Datuk Mohamad Salleh Ismail dan dua anaknya yang didakwa gagal membayar dua pinjaman perumahan berjumlah S$2.53 juta bagi pembelian hartanah di Singapura.

Peguam Wan Mohammad Arfan Wan Othman yang mewakili Mohamad Salleh dan dua anaknya, Wan Shahinur Izran dan Wan Izzana Fatimah Zabedah berkata Maybank Singapore selaku plaintif menarik balik saman itu berikutan satu perjanjian penyelesaian telah dicapai oleh kedua-dua pihak.

Rafizi kemudian mengkritik tindakan Maybank Singapore Ltd itu dan menyifatkan keputusan itu tidak sensitif terhadap "kepayahan rakyat biasa yang menanggung hutang sejak wabak COVID-19."

Tambahnya, walaupun kes NFC itu sudah berusia lebih sedekad, dia akan terus memantau isu itu dan tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut semula RM250 juta milik rakyat.