Ford Ranger bakal diganti dengan generasi lebih baharu tidak lama lagi setelah Ford Asia Pacific semalam mengeluarkan video YouTube singkat (lihat di bawah) untuk menghebahkannya.

Daripada video itu kita dapat melihat sebuah trak yang mengekalkan rekabentuk muskular, bersama konfigurasi double-cab. Gril hadapan dipadankan dengan lampu hadapan yang kelihatan seperti mempunyai barisan DRL di bahagian bawahnya.

Ford Ranger yang dijual sekarang oleh Sime Darby Auto Connexion kekal sebagai antara model yang paling banyak dijual (5,761 unit pada tahun 2013), dan permintaan untuk trak versatil ini masih lagi kekal ke suku ke-4 tahun 2014.

Pada bulan Oktober baru-baru ini, model Ranger masih lagi mengekalkan prestasi sebagai model terlaris dengan jualan sebanyak 829 unit (naik 11% daripada bulan sebelumnya). Jika mengambil kira dari Januari sehingga Oktober, jumlah Ranger yang telah keluar daripada bilik pameran Ford di seluruh negara adalah 6,831 unit.

Jadi kita tunggu sahaja dan saksikan sama ada Ford Ranger 2015 yang bakal dilancarkan dapat mengatasi prestasi yang begitu kuat ditunjukkan model sekarang.