KUALA LUMPUR: Penularan wabak COVID-19 sehingga mengakibatkan ratusan juta nyawa hilang serta menjunamnya ekonomi dunia, sedikit sebanyak memberi perspektif tentang persoalan baharu yang perlu dibincangkan dalam forum keselamatan antarabangsa.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, impak negatif COVID-19 ke atas ekonomi negara turut memaksa kerajaan termasuk Kementerian Pertahanan untuk menilai kembali perbelanjaan mereka dari belanjawan negara.

Menurut Ahli Parlimen Sembrong itu lagi, ia terletak kepada komitmen pemimpin dan pemain industri pertahanan untuk menangani cabaran berkenaan dan menggunakan pandemik itu sebagai peluang untuk menilai kembali keutamaan masing-masing.

“COVID-19 tanpa syak lagi memaksa kita berfikir di luar kotak. Idea menggunakan virus sebagai senjata kelihatan seperti plot dalam filem Hollywood, tetapi serangan biologi adalah satu ancaman yang mesti ditangani dengan serius.

“Sudah pasti ia satu pengajaran daripada pandemik ialah kesedaran untuk kami yang berada dalam bidang pertahanan dan keselamatan. Kami bertanggungjawab untuk pertahanan dan keselamatan negara masing-masing.

“Jadi (ada keperluan) untuk menerajui perbincangan secara mendalam tentang ancaman serangan biologi berskala besar, bagaimana untuk mengelak, membuat langkah mitigasi, dan paling utama, menangani satu lagi ‘COVID,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Forum Putrajaya 2022, bersempena penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2022 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Bertitik tolak dari situ juga, Hishammuddin berkata, institusi masing-masing perlu lebih berdaya tahan selain asas yang perlu lebih diperkukuhkan.

Berucap lanjut, Hishammuddin turut membangkitkan persoalan yang wajar dirungkai oleh wakil-wakil kerajaan, pemain industri, serta pakar-pakar dalam bidang berkaitan.

“Sewaktu sempadan negara ditutup, Angkatan Tentera Malaysia serta agensi penguatkuasa yang lain telah menggiatkan lagi aktiviti pengawalan melalui Pasukan Petugas Khas Kebangsaan (NTF) dan Op Benteng, untuk menghalang kemasukan imigran, serta risiko penularan COVID-19 di luar kawalan.

“Kini sempadan telah pun dibuka, bagaimana harus kita tangani ancaman dari pendatang asing, serta jenayah rentas sempadan lain dari berterusan atau meningkat, sewaktu era selepas pandemik?’’ soalnya lagi.

Selain itu, Hishammuddin berkata, penularan COVID-19 juga membangkitkan kembali persoalan mengenai ancaman siber yang sehingga kini dilihat antara ancaman utama dalam menggugat sesebuah negara.

Mengambil contoh aplikasi kesihatan digital seperti MySejahtera, Hishammuddin berkata, aplikasi itu menyimpan banyak data sensitif seperti nombor kad pengenalan, nombor telefon, alamat serta maklumat kesihatan.

“Maklumat yang sebelum ini dikira sebagai sulit dan sensitif, kini menjadi data yang disimpan dalam server awam yang mana kita tidak boleh lihat serta hanya mempunyai sedikit kawalan ke atasnya.

“Apa akan terjadi sekiranya ada penggodam yang mampu memecah masuk server berkenaan dan mempunyai akses terhadap data ini? Adakah jaminan tentang kesihatan dan keselamatan kita, datang dengan risiko terhadap privasi dan keselamatan kita?” soalnya lagi.

Hishammuddin berkata, ini merupakan antara persoalan utama yang beliau harap Forum Putrajaya kali ini dapat bincangkan dan akhirnya dapat menzahirkan cadangan yang bersesuaian untuk dipertimbangkan negara terlibat.