KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan kesemua 10 negara ASEAN bahawa keselamatan dan kestabilan di wilayah Laut China Selatan adalah tanggungjawab bersama.

Sewaktu berucap merasmikan Forum Putrajaya hari ini, beliau berkata, pendirian Malaysia selama ini masih konsisten bahawa segala isu berkaitan pertindihan kawasan perlu diselesaikan dengan dialog bagi mencari kesepakatan.

Katanya lagi, biarpun kenyataan keras lebih menarik perhatian, namun tanggungjawab semua negara ASEAN terlibat ialah memastikan ia ditangani dengan rundingan dan diplomasi.

“Walaupun kita bercakap mengenai soal pertahanan dan keselamatan, usaha untuk meredakan situasi yang tegang adalah satu tugas yang terletak dalamnya sendiri.

“Satu tugas yang perlu kita semua letak melebihi perkara lain tanpa mengabaikan soal keamanan dan kestabilan di wilayah ini. Pada masa yang sama kita semua perlu mempertahankan diri sendiri dan tidak bergantung kepada yang lain untuk melindungi kita,” katanya lagi.

Forum Putrajaya kali ini dianjurkan dengan kerjasama Astro AWANI selaku media rasmi, bersempena dengan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2022, di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, ASEAN juga tidak seharusnya mengabaikan peperangan yang berlaku antara Ukraine dan Russia kerana krisis yang tercetus antara dua negara itu
juga berhubung kait bagaimana ASEAN melontarkan pandangannya tentang pertelingkahan antara negara-negara besar.

“Mengulas mengenai perkara itu (krisis Russia-Ukraine), saya ingin mengulangi pendirian Malaysia bahawa kami dengan serius menyatakan kesemua kuasa yang terlibat untuk mengambil langkah meredakan ketegangan yang berlaku.

“Malaysia akan terus menyokong usaha untuk mengembalikan keamanan di peringkat wilayah terbabit serta di peringkat global. Kami juga menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk melakukan tugas hakikinya iaitu mengembalikan keamanan dan keselamatan dunia,” tegasnya lagi.

Hishammuddin berkata, negara ASEAN sebagai contoh, sentiasa mengambil langkah untuk mencari keseimbangan dalam melayari isu hubungan yang kompleks dalam rantau ini.

Beliau berkata, kesemua ini dapat dicapai melalu dialog rasmi dengan rakan-rakan ASEAN secara berterusan.

“Ada kebenaran dalam pepatah yang mengatakan, malah saya sendiri berpendirian yang sama – bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

“Memang diakui bahawa politik antarabangsa sukar sekali untuk diramal. Saya percaya kita semua setuju ia akan terus bersifat sedemikian. Hanya satu pilihan kita yang ada iaitu menangani kesemua ketidaktentuan ini,” katanya lagi.