KOTA TINGGI: Polis merampas rokok seludup bernilai hampir RM2 juta selepas menahan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata dalam operasi jam 1.30 pagi itu, pasukan Unit Risikan dan Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Bukit Aman, turut menahan pemandu lori terbabit serta seorang tonto.

"Hasil pemeriksaan di dalam ruangan belakang lori tersebut telah menjumpai 131 kotak besar rokok putih dan 92 kotak besar rokok kretek  yang di syaki tiada duti kastam.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2,006,100. Rokok terbabit dipercayai diseludup dari negara luar melalui jalan laut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Hussin, pemandu lori berusia 40-an, manakala tonto terbabit pula berusia berusia 20-an, memandu sebuah kereta Toyota Vios.

Katanya, tonto berkenaan ditahan selepas dia turut berhenti di kawasan itu tidak lama selepas polis menahan lori terbabit.

"Polis memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan rokok ini.

"Pihak polis masih menyiasat modus operandi yang digunakan sindiket ini dan tempoh operasi mereka,"katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.