KUALA LUMPUR : Aset usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebaga Nur Sajat bakal mula dilelong pada Selasa jam 10.30 pagi.

Menurut perintah mahkamah yang dikeluarkan 8 Disember lalu, lelongan awam tersebut akan dilakukan di alamat No. 2, Jalan Polo 10/3, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Menurut peguam, Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zukifili, tindakan itu dibuat selepas mendapati Nur Sajat gagal membuat bayaran pampasan setelah writ penyitaan ditampal di premisnya pada 14 Disember lalu.

“Pihak defendan tidak membuat pembayaran setelah writ penyitaan dan penjualan ditampal di premis Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman pada 14 Disember lalu.

“Maka mahkamah telah meluluskan permohonan plaintif agar semua barang yang disita supaya dilelong besok,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, bekas stokis utama kepada produk usahawan kosmetik itu, Nurwati Hussin dan Mohamed Syakir Hussin cuba mendapatkan kembali wang mereka apabila pampasan RM200,000 gagal dibayar.

Ujar peguam yang mewakili pihaknya, tindakan itu juga merupakan jalan penyelesaian bagi menebus pampasan yang perlu dibayar oleh defendan.

“Keputusan mahkamah adalah testimoni yang sistem perundangan negara bersetuju dengan hujahan dan bukti-bukti yang telah dibentangkan oleh pihak plaintif,” katanya lagi.

Orang ramai yang ingin membuat pembelian bagi senarai barangan yang bakal dilelong boleh terus ke alamat seperti yang dinyatakan.