LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah bot tunda bersama tongkang di kedudukan 0.3 batu nautika timur Pulau Pangkor di sini, pada jam 3.50 pagi tadi.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman, penahanan dibuat susulan kegagalan operator tersebut mengemukakan sebarang dokumen berkaitan semasa pemeriksaan dijalankan.

"Bot yang ditahan dikendalikan kru warga tempatan berumur 46 tahun yang membawa peralatan dan bahan binaan tanpa dokumen berkaitan.

"Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952/60 dan Kaedah Boat Rules 1954 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujar Shahrizan lagi, bot tunda dan tongkang berkenaan kemudiannya dibawa ke Jeti Teluk Muruh manakala kru warga tempatan dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia Negeri Perak bagi siasatan lanjut.

Katanya, sebarang aduan serta maklumat berkenaan sebarang salah laku di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.