KUALA LUMPUR: Bekas eksekutif pembelian di sebuah syarikat minyak dan gas hari ini didenda RM7,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana gagal melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemberian suapan berjumlah RM4,000, tahun lepas.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman denda RM3,500 atau sebulan penjara bagi setiap pertuduhan terhadap Nor Azleela Ali, 43, selepas wanita berkenaan mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan.

Suzana turut menasihati tertuduh supaya insaf atas perbuatannya dan berfikir dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Nor Azleela sebagai seorang Senior Buyer di Sapura Energy Berhad didakwa telah diberikan wang suapan berjumlah RM4,000 oleh Ismail Pang Ah Wong @ Mohd Khalid, iaitu Pengarah IMK Marine Services Sdn Bhd melalui akaun simpanan bank CIMB milik tertuduh.

Wang itu diberikan kepada tertuduh sebagai dorongan kerana membocorkan maklumat harga tender syarikat lain bagi projek 'Provision of Engineering, Procurement, Construction, Installation and Commissioning (EPCIC) of Pegaga Development Project' daripada Sapura Energy Berhad yang telah melanggar peruntukan Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 iaitu gagal melaporkan kesalahan pemberian suapan itu kepada SPRM dan polis.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank CIMB, Cawangan Solaris Mount Kiara, Jalan Solaris di sini pada 23 Mei dan 6 Okt 2020, mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Nor Azleela yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum atas alasan dia menanggung keluarga selain tidak mempunyai pendapatan selepas diberhentikan kerja dan telah berusaha untuk mencari pekerjaan baharu, namun gagal.

"Saya mengaku salah dengan apa yang saya lakukan. Sepanjang berada dalam lokap SPRM selepas ditahan sudah cukup memberi pengajaran. Pada masa sama, saya juga mempunyai tanggungan keluarga iaitu ibu yang uzur serta seorang adik Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya sambil menahan sebak.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noryusriza Zulkifli memaklumkan tertuduh direman dari 14 hingga 17 April lepas dan menyerahkan kepada mahkamah untuk hukuman.

Berdasarkan fakta kes, Nor Azleela yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja tender pembekalan cat untuk projek EPCIC of Pegaga Development telah menghubungi seorang lelaki dan meminta wang sagu hati kerana Nor Azleela telah membocorkan maklumat berkaitan harga tender syarikat lain yang bersaing untuk tender bagi projek tersebut.

Hasil siasatan mendapati, tertuduh gagal melaporkan pemberian rasuah berjumlah RM4,000 yang dimasukkan ke dalam akaunnya sebagai dorongan kerana membocorkan maklumat harga tender syarikat lain bagi projek berkenaan.

-- BERNAMA