KEPALA BATAS: Padah tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebuah tapak pembinaan taman perumahan di Bertam Perdana, di sini diarah tutup selama seminggu mulai hari ini.

Arahan penutupan dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Pulau Pinang menyebabkan semua projek pembinaan perumahan disitu terpaksa dihentikan serta-merta.

Tidak cukup dengan itu, kontraktor dan majikan juga perlu membayar kompaun RM35,000 yang dikeluarkan polis selepas mereka ingkar SOP ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kompaun RM25,000 dikenakan kerana pekerja-pekerja berkenaan tidak membuat ujian calitan COVID-19, manakala RM10,000 lagi kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Majikan di kawasan tapak pembinaan ini kita dapati gagal mematuhi SOP, gagal memastikan pekerja memakai pelitup muka, imbas (aplikasi) MySejahtera, mengambil suhu… perkara-perkara asas tidak dilakukan pihak majikan.

“Dalam hal ini, PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan ambil tindakan kompaun kepada tuan punya tapak projek ini atas  kegagalan yang disebut. Saya juga dimaklumkan KKM akan beri notis penutupan tapak projek ini,” kata Noorzainy.

Beliau turut memaklumkan, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) juga akan mengambil tindakan khususnya pada sebuah gerai di tapak pembinaan yang tidak mematuhi peraturan premis perniagaan dan pelesenan.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) negeri, Zahidi Hashim, berkata, pihaknya mengeluarkan notis kepada wakil kontraktor utama bagi mendapatkan maklumat berikutan pekerja yang ditahan dalam operasi mempunyai masalah berkaitan dokumentasi.

Menurut beliau, susulan notis dikeluarkan, pihaknya akan mengambil tindakan lanjut memandangkan terdapat 30 pekerja di tapak pembinaan itu yang dari aspek undang-undang tidak boleh bekerja mengikut Akta 510.

CIDB, jelasnya, akan mengenakan tindakan kompaun pada kontraktor utama dan majikan kepada pekerja-pekerja itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri, Sherin Erna Majid pula berkata, pemeriksaan awal pihaknya mendapati majikan gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta 446 Seksyen 24D  untuk mendapatkan perakuan penginapan daripada JTK.

“Selain itu, majikan juga gagal mematuhi peraturan (untuk) sediakan tilam, katil dan almari berkunci. Buat masa ini, JTK akan keluarkan saman dan untuk tindakan susulan, dijangka kertas siasatan akan dibuka kepada majikan di bawah Akta 44d,” kata beliau.
Terdahulu, seramai 60 pekerja warga asing di tapak pembinaan itu lari lintang-pukang sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Kesemua yang melarikan diri di dalam semak di kawasan berhampiran tapak pembinaan itu dipercayai tidak mempunyai dokumen yang sah.

Bagaimanapun, 30 daripadanya berjaya ditahan pihak polis.

Pemeriksaan Ops Bersepadu itu dilakukan PDRM dan beberapa agensi lain antaranya MBSP, Jabatan Imigresen, KKM, JTK dan CIDB pada Khamis.