MELAKA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan agar menyeragam dan meningkatkan gaji minimum penjawat awam di negara ini.
 
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata ini kerana gaji minimum RM1,208 ketika ini disifatkan sebagai tidak lagi relevan dengan mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.
 
Bukan sahaja itu, malahan faktor unjuran gaji yang terlalu rendah juga menyebabkan kira-kira separuh atau 800,000 daripada 1.62 juta penjawat awam di negara ini masih belum mempunyai kediaman sendiri.
 

Beliau berkata, in terutamanya penjawat awam yang tinggal di bandar-bandar besar yang terpaksa menyewa bilik susulan harga rumah yang terlalu mahal di sesetengah kawasan.
 
Katanya, sebelum ini kerajaan menetapkan gaji minimum swasta sebanyak RM1,500 dan sepatutnya pelaksanaan sama dilakukan di dalam sektor awam.
 
"Sebagai majikan terbesar dalam negara ini (kerajaan) perlu mengorak langkah terkehadapan dengan mempenalkan gaji minimum lebih tinggi seperti RM1,800 supaya swasta boleh turut menyamai gaji itu.

"Kalau kerajaan sendiri gaji minimum RM1,200, bagaimana pihak swasta di luar sana nak ikut saranan kerajaan. Gaji minimum RM1,500? Sebab dalam kerajaan sendiri selaku majikan pun tidak laksana gaji minimum, sebagaimana disaran di sektor swasta, jadi sudah sampai masanya supaya kerajaan selaku majikan, letak gaji minimum baharu dalam bajet akan datang," katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Tritahunan Cuepacs Negeri Melaka Sesi 2022-2025 yang dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Zaidi Johari di Dewan Hang Tuah pada Ahad.
 
Mengulas lanjut ujarnya, berdasarkan semakan dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) ketika ini katanya, terdapat lebih 800,000 peminjam telah pun membuat pinjaman dengan lembaga itu, selain sebahagian lagi telah dapat pinjaman dalam sektor konvensional.
 
Dalam pada itu katanya, Cuepacs turut memohon Bajet 2023 membenarkan moratorium selama dua tahun kepada peminjam sekiranya berdepan isu projek perumahan terbengkalai.
 
Ini kerana ujarnya, isu berkenaan membebankan peminjam yang terpaksa menanggung hutang meskipun belum berjaya mendapat kunci rumah.