Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan ibu bapa supaya jangan menggunakan unsur paksaan terhadap anak-anak mereka tetapi yang penting ialah memberi galakan dalam bidang yang mereka gemari dan mempunyai potensi.

"Jika mereka yang suka bersukan, kita galakkan mereka bersukan dan kita lihat potensi dan bakat mereka. Jika mereka berbakat dalam satu-satu bidang, kita galakkan anak-anak kita untuk mereka terus berusaha dan mengasah bakat mereka yang ada tersebut.

Ini penting kerana memaksa anak-anak kita untuk berbuat sesuatu yang mereka tidak suka akhirnya akan menjadikan anak kita ini merasakan diri dan jiwa mereka tertekan. Dan apabila ada perasaan ini yang wujud dalam diri mereka, ia akan membesar dalam keadaan yang mempunyai perasaan yang tertekan dan akhirnya ada perasaan memberontak di dalam fikiran dan jiwa masing-masing," katanya di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Parlimen Rembau 2017 di Dewan Orang Ramai Sendayan dekat sini.

Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Dr. Awaludin Said, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri Datuk Zaifulbahri Idris dan Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri Mohd Ali Hanafiah Abu Hassan.

Mohamad berkata apa yang perlu dibuat, sebagai guru di peringkat mana sekali pun (baik di peringkat Tadika atau di peringkat sekolah), mereka hendaklah mengesan anak-anak atau pelajar mereka supaya dapat melihat bakat mereka yang cenderong ke arah mana.

"Jika mereka suka bersukan, galakkan mereka bersukan dan jika mereka suka dalam bidang kemahiran seperti melukis dan lain-lain maka galakkan mereka untuk mereka terus mengasah bakat dalam apa juga kegemaran dan bakat yang ada pada mereka.

Kerana inilah usaha awal yang boleh membentuk peribadi seseorang anak-anak dan akhirnya mereka nanti akan membesar dalam keadaan yang sempurna dan mereka suka apa yang mereka buat.

Apabila mereka suka apa yang mereka buat, mereka akan membuatnya dengan sepenuh hati dan bersungguh-sungguh sehinggakan mereka boleh menjadi seorang insan yang berjaya pada masa yang akan datang," katanya.

Pada majlis itu, kontinjen Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi muncul johan keseluruhan.

Mohamad turut memberi sumbangan beliau sebanyak RM20,000 kepada Kemas Rembau. - BERNAMA