Astro AWANI menerusi salah satu slot beritanya, Bisnes Awani mempersembahkan "GALERI AIDILFITRI BISNES AWANI" sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial bagi meraikan golongan istimewa sempena Aidilfitri tahun ini.

Program amal ini melibatkan kerjasama kumpulan sokongan ibu bapa kanak-kanak Cerebral Palsy (CP), Malaysian Advocates for Cerebral Palsy (MyCP).

"GALERI AIDILFITRI BISNES AWANI" merangkumi 2 elemen; "Cabaran Kenali Cerebral Palsy" dan "Cabaran Sayangi Cerebral Palsy". Ia bersempena moto MyCP, "Kenali Cerebral Palsy, Sayangi Kami".

"Cabaran Kenali Cerebral Palsy"

"Cabaran Kenali Cerebral Palsy" melibatkan 4 aktiviti yang dirakam bersama 4 selebriti popular tanah air dan 4 kanak-kanak CP. Mereka adalah pelakon dan penyanyi, Arja Lee dan Izzue Islam, pelawak dan pelakon Mamat Sepah serta sutradara filem, Erma Fatima.

Keempat-empat selebriti tersebut menyahut cabaran sebagai ibu bapa dan penjaga kanak-kanak CP dengan melakukan cabaran seperti berikut:

1. Arja Lee: Cabaran Hidroterapi bersama adik Damia' Adawiyah bt Muhamad Suhairi di Amir's Gym, Jalan Jelutung, Bukit Damansara.

2. Izzue Islam: Cabaran Fisioterapi bersama adik Abdullah Harith bin Mohd Safazulhilmi di Amir's Gym, Jalan Jelutung, Bukit Damansara.

3. Mamat Sepah: Cabaran Kreativiti bersama adik Dalili Sofiya bt Zulfikri di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

4. Erma Fatima: Cabaran Membeli-belah bersama adik Izdihar Janna bt Adzly di AEON AU2, Keramat.

"Cabaran Kenali Cerebral Palsy" menonjolkan suka duka dan cabaran yang dilalui sebagai ibu bapa atau penjaga kanak-kanak istimewa ini untuk dipaparkan kepada penonton setia Astro AWANI. Keempat-empat selebriti yang terlibat dikehendaki menggalas peranan tersebut dan merasai sendiri tugas dan tanggungjawab menjaga dan mendidik kanak-kanak CP melalui kehidupan seharian.

Bagi menghargai usaha dan komitmen mereka, Bisnes AWANI menganjurkan majlis berbuka puasa di Casa Heliconia, Jalan Maktab off Jalan Semarak bersama 20 kanak-kanak CP terpilih dari MyCP. Kemeriahan turut diraikan bersama selebriti tempatan lain yang turut dijemput khas menjayakan majlis ini.

Pada majlis tersebut, Bisnes AWANI mengendalikan "Cabaran Sayangi Cerebral Palsy" yang bertujuan meraikan kanak-kanak CP dan ibu bapa mereka. Ia meliputi elemen permainan yang menguji kreativiti mereka secara santai.

"GALERI AIDILFITRI BISNES AWANI" turut mengundang khas juri program Masterchef Selebriti, Chef Adu Amran untuk mengendalikan segmen "Cabaran Dapur" yang memerlukan ibu bapa dan kanak-kanak CP menyediakan menu khas biskut raya.

Antara program lain yang berlangsung sepanjang majlis "GALERI AIDILFITRI BISNES AWANI" adalah "Cabaran Santai", "Cabaran Bakat" dan "Cabaran Kreativiti" yang turut melibatkan penyertaan rakan-rakan selebriti.

"GALERI AIDILFITRI BISNES AWANI" dijayakan dengan tajaan rakan-rakan korporat Bisnes Awani iaitu Felda Dsaji selaku penaja lokasi dan katering bagi program berbuka puasa, AEON selaku penaja keperluan pakaian Hari Raya dan Karyaneka selaku penaja cenderamata.

"GALERI AIDILFITRI BISNES AWANI" dirakam dan akan disiarkan menerusi Slot Bisnes AWANI pada 1 dan 2 Syawal ini pada jam 1.30 tengahari, 2.30 petang, 5.30 petang dan 6.30 petang di saluran Astro AWANI, 501.