SUBANG: Proses pemulihan gangguan bekalan air di kawasan USJ 1 hingga USJ 27, di sini mencapai tahap 53 peratus sehingga jam 8 pagi pada Ahad.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kemas kini di laman Facebook berkata, tempoh gangguan dan pemulihan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan pada sistem agihan bekalan.

Katanya, Air Selangor menyarankan pengguna yang telah mendapat bekalan agar membiarkan pili mengalirkan air sehingga jernih terlebih dahulu sebelum digunakan untuk keperluan harian.

"Pengguna yang menerima bekalan juga diharap dapat menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan terjejas berjalan lancar," ujarnya.

Air Selangor pada Sabtu memaklumkan beberapa kawasan di USJ 1 hingga USJ 27 bakal berdepan gangguan air tidak berjadual susulan penurunan paras Kolam Air Sime UEP di Kampung Kenangan, Puchong.

Masalah itu berlaku berikutan isu teknikal atau ‘air lock’ pada paip agihan utama yang menyalurkan air ke kolam berkenaan.

Dalam pada itu, Air Selangor berkata, sebarang maklumat terkini berhubung gangguan bekalan air berkenaan akan dimaklumkan melalui semua medium komunikasi mereka termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan boleh ajukan kepada Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor," jelasnya.


*Berita asal di Sinar Harian