KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air tidak berjadual di 50 kawasan di sekitar ibu kota berikutan kebocoran paip pengepaman di Rumah Pam Segambut dijangka pulih sepenuhnya jam 9 malam pada Isnin.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata kerja-kerja pembaikan paip bocor telah selesai pada 5.40 petang Ahad dan bekalan air mula disalurkan secara berperingkat.

Beliau berkata pihaknya telah menggerakkan lori tangki ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada lokasi kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

"Para pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki ini," menurutnya dalam kenyataan pada Ahad.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau talian 15300 dan sebarang pertanyaan serta aduan boleh diajukan di Pusat Bantuan di laman sesawang www.airselangor.com.

-- BERNAMA