KUALA LUMPUR: Bekalan air ke enam kawasan di Shah Alam, Selangor yang mengalami gangguan semalam, mula disalurkan secara berperingkat mulai 6.15 pagi tadi selepas kerja pembaikan paip pecah di Persiaran Perusahaan, Seksyen 23 siap dilaksanakan.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan hari ini berkata tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Bekalan air di enam kawasan yang terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari ini,” katanya.

Semalam, sebanyak enam kawasan iaitu Seksyen 18, Seksyen 19, Seksyen 20, Seksyen 23, Seksyen 24 dan Seksyen 25 di Shah Alam mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula 10 malam, susulan kejadian paip pecah di Persiaran Perusahaan di Seksyen 23.

BACA: 6 kawasan di Shah Alam alami gangguan bekalan air malam ini

Para pengguna boleh merujuk medium komunikasi rasmi syarikat itu iaitu aplikasi Air Selangor, laman Facebook, Instagram, Twitter Air Selangor atau menghubungi Pusat Komunikasi di 15300 untuk maklumat lanjut, manakala sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan menerusi www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

-- BERNAMA