KUALA LUMPUR: Gangguan perkhidmatan telekomunikasi dan penyiaran menggunakan satelit MEASAT-3 sejak 21 Jun lalu berjaya dipulihkan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan bahawa gangguan tersebut berlaku susulan posisi satelit MEASAT-3 terjejas disebabkan oleh masalah teknikal.

MCMC memaklumkan bahawa laporan yang diterima daripada pihak MEASAT mendapati kerja-kerja baik pulih telah giat dijalankan dan satelit tersebut kini diletakkan pada mod operasi biasa, manakala transponder juga dihidupkan kembali sejak 9.30 pagi Khamis.

Pada masa yang sama, punca gangguan satelit tersebut masih disiasat.

“Walaupun punca kejadian sebenar masih belum diketahui, namun siasatan awal yang dijalankan mendapati berlakunya kegagalan thruster.

“Untuk itu, back-up thrusters telah digunakan untuk mengawal satelit berkenaan tanpa sebarang impak kepada operasi dan jangka hayat satelit yang dimaksudkan.”

MCMC turut memaklumkan bahawa gangguan itu telah menjejaskan pelbagai perkhidmatan termasuk Direct-to-Home (DTH), pengagihan saluran video, perkhidmatan telefon mudah alih oleh pihak penyedia perkhidmatan serta perkhidmatan Very Small Aperture Terminal (VSAT).

Insiden itu juga dianggarkan memberi kesan kepada 14,000 pelanggan.

Justeru itu, MCMC memohon pihak awam supaya menghubungi pihaknya sekiranya perkhidmatan masih terjejas.

Sebelum ini Astro memaklumkan kepada pelanggannya bahawa perkhidmatannya terganggu susulan gangguan perkhidmatan satelit yang dialami.