Ketua jabatan sebuah hospital awam di Lembah Klang yang didakwa melakukan gangguan seksual ke atas sekurang-kurangnya 38 individu termasuk doktor pelatih, digantung tugas selama dua bulan berkuat kuasa semalam.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata tindakan itu diambil bagi membolehkan kementerian menjalankan siasatan dalaman sebelum memaklumkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk membuat keputusan sama ada menamatkan perkhidmatan ketua jabatan itu atau sebaliknya.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima maklum balas daripada SPA (yang bersetuju) dengan syor kami untuk mengenakan perintah tahan kerja mengikut Peraturan 43 (di bawah peraturan tatatertib penjawat awam) ke atas ketua jabatan berkenaan selama dua bulan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan hospital berkenaan hari ini.

Menurut Dr Dzulkefly, KKM setakat ini mengadakan 31 perjumpaan dan mesyuarat mengenai isu itu yang menyaksikan 38 individu berkenaan tampil mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual ketua jabatan yang mula bertugas di hospital awam berkenaan sejak 2009.

"KKM juga telah menyerahkan laporan (awal) siasatan berhubung dakwaan salah laku seksual itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, ada dalam kalangan 38 pengadu itu yang mendakwa tahap gangguan seksual yang dialami lebih buruk berbanding apa yang dilaporkan media sebelum ini.

Dr Dzulkefly berkata Majlis Perubatan Malaysia telah mengambil maklum perkara tersebut dan sedang menilai keperluan membatalkan lesen pengamal perubatan ketua jabatan berkenaan.

Beliau turut mengesahkan tiada pemindahan pelatih mahupun kakitangan jabatan berkenaan akan dibuat. -- Bernama