KUALA LUMPUR:Tindakan tegas boleh diambil pihak sekolah terhadap mana-mana pelajar yang berkelakuan tidak sopan ketika proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian berlangsung.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, tindakan itu boleh dikenakan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan biasa terhadap pelajar yang didapati bersalah.

Sambil menyifatkan kelakukan itu merupakan sangat biadap, beliau menegaskan, tindakan tegas perlu diambil bagi membendung perkara itu daripada berleluasa.

"Ini merupakan satu kelakuan sangat biadap dan tidak sepatutnya berlaku dalam suasana masyarakat di negara ini yang begitu hormat pada guru dan orang yang lebih dewasa.

"Walaupun ini kali pertama berlaku dalam sejarah PdPR di negara kita, ia tetap suatu kesalahan dan tidak boleh dibiarkan.

"Tindakan tegas perlu diambil pihak sekolah bagi membendung perkara seperti ini daripada terus berlaku dan berleluasa di tempat lain," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan sesi PdPR sebuah kelas dalam talian terganggu apabila seorang murid didakwa telah memaparkan video lucah ketika sesi berkenaan berlangsung menerusi Google Meet.

Hanya mahu dikenali sebagai Cikgu N, dia berkata, tindakan di luar jangkaan itu memaksa dirinya terus menghentikan sesi PdPR serta-merta, sekali gus mengganggu proses pembelajaran murid-murid lain.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, kerjasama daripada ibu bapa dan penjaga pelajar amat diharapkan dengan menegur dan memberi peringatan agar sentiasa berkelakuan baik ketika PdPR.

"Kita sedar amat sukar untuk guru membuat kawalan terhadap murid kerana aspek lokasi dan jarak antara guru dan pelajar.

"Dalam masa sama, pihak guru juga diharapkan agar beretika, bersopan dan berkelakuan baik semasa proses PdPR dan ianya sentiasa ditekankan dari masa ke semasa," katanya lagi.

BACA: Sesi PdPR terganggu, murid 'tayang' video lucah ketika guru mengajar