KUALA LUMPUR: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu secara sinis menyifatkan imbuhan kepada bekas Perdana Menteri adalah penting walaupun negara mungkin akan bankrap disebabkan tindakan tersebut.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di peringkat jawatankuasa melibatkan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, imbuhan tersebut adalah berdasarkan jasa-jasa perdana menteri terdahulu.

"Memandangkan jasa Perdana Menteri-Perdana Menteri yang lalu, boleh tak Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bersetuju dengan saya supaya Tunku Abdul Rahman diberi pampasan RM1 bilion disebabkan beliau Bapa Kemerdekaan.

"Tun Abdul Razak yang merupakan Bapa Pembangunan, kita bagi RM500 juta; Tun Hussein Onn - Bapa Perpaduan, cukuplah RM300 juta.

"Tun Dr Mahathir, Bapa Pembangunan Moden dan 22 tahun menjadi Perdana Menteri kita bagi imbuhan RM2 bilion. Tun Abdullah bagi RM100 juta, manakala Datuk Seri Najib bagi RM100 juta.

"Biar negara bankrap pun tak apa, tetapi yang penting imbuhan kepada orang yang berkhidmat ini begitu penting," katanya ketika mencelah perbahasan Anwar di Dewan Rakyat hari ini.


Sementara itu, Anwar dalam reaksi balasnya meminta supaya menteri bertanggungjawab memberi penjelasan berhubung isu tersebut.

"Saya faham semangat hutang budi di bawa mati ini, tetapi ini beban kepada negara dan saya percaya, kalau ikut pengalaman mengenali tokoh-tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak.

"Individu ini tak perlukan dana, mereka berkhidmat oleh kerana kasih kepada negara. Ini berbeza dengan yang lain.

"Jadi saya percaya, walaupun semangat itu ada, kita tahu peruntukan undang-undang (sedia ada), saya minta menteri beri penjelasan berkenaan apa yang berlaku, berapa yang diperolehi dan mengapa jemaah menteri boleh bersetuju dengan mudah kemudahan-kemudahan yang diberikan," katanya.

BACA: Isu Najib, HSR, Bajet 2022: Guan Eng minta undi belah bahagian terhadap JPM

Pada Khamis lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada Najib yang ketika ini menunggu untuk 'dimuktamadkan', sekali gus menyebabkan kenyataan beliau itu dipersoal segelintir Ahli Parlimen.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Jumaat pula mengesahkan kerajaan pada dasarnya telah bersetuju untuk menganugerahkan Najib sebidang tanah dan rumah yang dilaporkan bernilai RM100 juta.

BACA: Menteri Kewangan sahkan Najib mohon rumah, tanah bernilai RM100 juta

BACA: 'Hadiah' rumah, tanah bernilai RM100 juta kepada Najib Razak 'panaskan' Dewan Rakyat