KOTA BHARU: Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Kelantan menggesa pihak berkaitan mengambil tindakan tegas dengan menggantung tauliah mengajar terhadap agamawan yang terlibat dengan tuduhan membabitkan kesalahan jenayah seksual sehingga siasatan kes selesai.

Ketua Awan Negeri Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim turut menggesa kerajaan negeri bertindak segera menangani jenayah seksual membabitkan kanak-kanak di institusi-institusi pendidikan.

Katanya, amat penting untuk mengembalikan keyakinan ibu bapa bahawa anak-anak mereka selamat ketika berada di mana-mana institusi pendidikan di negeri ini.

“Dua laporan iaitu membabitkan seorang pelajar Tingkatan Dua yang diliwat oleh warden asrama sebuah sekolah agama sejak empat tahun lalu dan seorang murid berusia 12 tahun dicabul serta diliwat oleh pengawal keselamatan sebuah sekolah agama di Tanah Merah baru-baru ini amat membimbangkan dan ibarat harapkan pegar makan, pegar makan pagi.

“Awan mendesak kerajaan supaya memberi respons menyatakan langkah dan tindakan mereka untuk mengatasi jenayah terkutuk ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada akhbar, di sini, pada Ahad.

Ujar beliau, tidak perlu mengulangi kenyataan oleh seorang timbalan menteri sebelum ini yang mahukan media dan masyarakat tidak mensensasikan kes jenayah melibatkan agamawan.

“Reaksi seperti ini amat mengecewakan kerana dilihat seperti cubaan melindungi penjenayah hanya kerana status mereka bergelar agamawan.

“Pembelaan patut dilakukan terhadap mangsa, wanita atau lelaki yang biasanya mengalami trauma mendalam akibat jenayah yang berlaku ke atas mereka,” katanya.

Hafidzah berkata, hukuman yang setimpal perlu ke atas pelaku jenayah agar menjadi iktibar kepada masyarakat awam yang lain.

“Terdapat kaitan yang jelas antara pornografi yang boleh menyebabkan ketagihan dengan jenayah seksual dan langkah pencegahan melalui pendidikan seksual serta reproduksi mesti digiatkan sama ada melalui institusi pendidikan formal mahu pun tidak formal.

“Kerajaan perlu melakukan usaha bersepadu dengan pelbagai pihak dalam membendung bahan-bahan iklan berunsur pornografi yang begitu berleluasa di media sosial selain mengadakn program pemulihan kepada golongan ketagih pornografi,” katanya.


* Artikel asal di Sinar Harian