TELUK INTAN: Gara-gara cemburu, seorang pelajar lelaki Tingkatan 2 menjadi mangsa pukul 10 pelajar lain dalam kejadian di bilik asrama sekolah di sini, pada Khamis lalu.

Tidak cukup dengan itu, mangsa berusia 14 tahun itu turut dicederakan dengan seterika panas pada tubuh badannya.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami sakit di bahagian pinggang dan kini menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

"Polis daerah Hilir Perak menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 23 Jun jam 9.40 malam.

"Kejadian tersebut berlaku di salah sebuah sekolah menengah di Teluk Intan. Hasil siasatan mendapati, mangsa telah dibuli oleh 10 orang suspek berumur 16 hingga 17 tahun yang merupakan pelajar senior (tingkatan 4 dan tingkatan 5) di sekolah terbabit.

"Kejadian berlaku pada Khamis, antara pukul 12.30 tengah malam hingga pukul 1 pagi.

"Salah seorang suspek telah membawa mangsa ke bilik asrama dan kemudiannya memukul mangsa secara beramai-ramai dan mencederakan mangsa menggunakan seterika panas pada badan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mior Faridalathrash berkata, mangsa kemudiannya menghubungi ibunya serta mengadu mengalami sakit di bahagian pinggang.

Ibu mangsa kemudiannya membawa mangsa ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.

"Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan dan berada di dalam keadaan stabil.

"Soal siasat awal mendapati pergaduhan tersebut dikatakan berpunca dari perasaan cemburu setelah mangsa berbual dengan seorang pelajar wanita yang juga teman wanita kepada salah seorang suspek yang membuli mangsa," katanya lagi.

Justeru katanya kesemua suspek telah ditahan oleh pihak polis pada hari yang sama, pada pukul 11.20 malam sejurus menerima laporan.

Kesemua suspek juga telah ditahan reman selama empat hari bermula semalam hingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

Katanya lagi, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan.

Justeru, pihak polis ingin menasihatkan kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat.

Masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak sesekali menularkan maklumat yang tidak sahih kepada umum serta disarankan untuk melakukan sebarang laporan dan aduan di balai polis berhampiran.