Penangan lagu Gangnam Style yang mencipta fenomena di seluruh dunia.

Selain diangkat sebagai lagu paling banyak ditonton di laman YouTube, 'Gangnam Style' sekali lagi mencipta sejarah dengan memaksa Google menaik taraf sistemnya untuk meneruskan kiraan angka tontonan video tersebut.

Ini kerana, tontonan untuk video tersebut sudah pun mencapai angka maksimum yang ditetapkan.

Lagu nyanyian penyanyi Korea, Psy atau nama sebenarnya Park Jae-sang itu sudah pun memecah rekod dengan lebih dua billion tontonan di YouTube.

Berdasarkan kenyataan Google, pembilang tontonan di YouTube menggunakan integer 32-bit yang membawa angka maksimum 2,147,483,647.

Oleh itu, tontonan seterusnya tidak lagi dapat dikira.

Memetik kenyataan Google kepada laman web The Verge tidak lama dahulu, “Jurutera kami sudah menjangkakan ini akan berlaku beberapa bulan lalu dan bertindak mengemaskini sistem kami sebagai persediaan.”

Bagaimanapun melihat kepada kunjungan ke laman video 'Gangnam Style', Google menaiktaraf kepada integer berasaskan 64-bit.

Kini, YouTube mampu membawa sokongan angka kiraan maksimum sehingga 9,223,372,036,854,775,808 tontonan.

'Gangnam Style' mencetuskan fenomena di seluruh dunia sejak dilancarkan pada 2012 melalui irama K-Pop bersama ‘trademark’ tarian kuda.

Video kedua yang paling banyak ditonton di YouTube ialah lagu Justin Bieber, ‘Baby’, yang kini mencecah 1,117,681,185 tontonan.