GOMBAK:Akibat salah faham, seorang remaja maut selepas ditikam abang iparnya di kawasan tempat letak kereta di Taman Pinggiran Batu Caves pada Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.40 malam.

"Pada 7 Februari, pada jam lebih kurang 8.40 malam, anggota polis bertugas di Pondok Polis Hospital Selayang telah menerima aduan dari orang awam memberitahu adik lelakinya yang berumur 17 tahun cedera parah akibat ditikam oleh abang iparnya dan telah meninggal dunia di Zon Merah Hospital Selayang.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak telah membuat tangkapan seramai empat lelaki dan lima wanita tempatan di sekitar Batu Caves disyaki terlibat dalam kes pembunuhan itu untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan media.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat salah faham apabila suspek dipercayai bertengkar dengan mangsa kerana isteri suspek enggan tinggal bersamanya gara-gara rumah tidak selesa yang turut didiami keluarganya.

"Dalam insiden tersebut telah berlaku pertengkaran mulut, provokasi dan pergelutan di antara suspek dan mangsa yang mana mangsa tidak berpuas hati dengan suspek kerana mengeluarkan perkataan tidak baik kepada emak mangsa.

"Akibat pergelutan dengan mangsa, suspek mengalami kecederaan di bahagian dada manakala mangsa mengalami kecederaan kesan tikaman di bahagian bawah dada," katanya lagi.

Mangsa bagaimanapun dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada jam 9.10 malam.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Tambahnya, polis percaya motif kejadian adalah disebabkan mangsa mencampuri urusan dan masalah rumahtangga suspek dan isterinya.

Susulan pemeriksaan di lokasi kejadian, polis berjaya menemui dan merampas sebilah pisau lipat dipercayai digunakan suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 14 Februari depan untuk siasatan lanjut.