KUALA LUMPUR: Garis panduan berhubung penggunaan kenderaan mikromobiliti akan diumumkan tidak lama lagi.

Demikian jelas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berhubung isu penggunaan kenderaan itu yang sering diperdebatkan pelbagai pihak.

"Isu kenderaan mikromobiliti ini kerajaan bersikap terbuka, kita kenakan larangan kerana nak jaga keselamatan pengguna.

"Walau bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan tidak menghalang tetapi mesti diwujudkan satu persekitaran kondusif, kalau tidak orang berkeliaran atas jalan akhirnya akan membawa maut," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park, di ibu negara pada Ahad.

BACA: 3 jenis kenderaan mikromobiliti diharamkan di jalan raya serta-merta

Skuter Elektrik | Larangan kenderaan mikromobiliti 

Tambah Wee, meskipun terdapat pelbagai pandangan daripada beberapa pihak mengenai larangan itu, namun tegasnya keselamatan pengguna jalan raya perlu diutamakan.

"Ada orang berpendapat macam kita tak sokong, kita akan sokong sekiranya ada persekitaran yang kondusif.

"Kerajaan telah berbincang dan kita akan umumkan apabila siap keseluruhan (garis panduan). Tapi langkah pertama kita tak benarkan dulu. Kita akan lihat pengecualian apa yang kita boleh beri (selepas garis panduan siap)," jelasnya lagi.

Tambahnya, antara yang terlibat dalam menyediakan garis panduan itu ialah agensi serta kementerian berkaitan termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).