Seorang gelandangan lelaki ditemui maut disyaki dibunuh di hentian bas sebuah sekolah dekat Seri Kembangan Serdang pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kejadian disedari seorang pengawal keselamatan sekolah tersebut yang menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan dibalut dengan tilam.

Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat kesan hentakan objek keras pada kepala mangsa dan lelaki tersebut dipercayai mati pada malam Ahad.

“Kes kematian ini melibatkan seorang lelaki berumur 41 berasal daripada Sabah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mangsa dipercayai telah dibunuh dan ada kesan hentakan objek tajam di tepi kepalanya,” katanya.

Tambah beliau, beberapa barangan milik mangsa turut ditemui berhampirannya dan siasatan mendapati, mangsa sudah berada di kawasan sekitar sejak sebulan lalu.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut.

Orang awam yang terlihat kejadian diminta menghubungi balai polis berdekatan atau ASP Nur Akma Firdaus di IPD Serdang bagi membantu siasatan.