KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan akan mengadakan perbincangan bagi membenarkan rentas negeri dalam usaha merancakkan lagi industri pelancongan negara.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata perbincangan berhubung perkara itu dijangka dilakukan dalam tempoh dua atau tiga hari lagi untuk membolehkan para pelancong merentas negeri.

"Apabila rentas negeri itu dibuka, orang luar boleh masuk (ke negeri lain).

"Ia (Kementerian) telah senaraikan nama-nama destinasi bukan sahaja pulau, (tetapi) termasuk kawasan darat seperti Genting Highlands, Cameron Highlands, Fraser Hill dan lain-lain destinasi.

"Ini boleh menarik minat orang untuk bergerak sebab pelancongan adalah mengenai mobiliti.

"Apabila mereka bergerak, ekonomi kita juga boleh meningkat," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14, di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Nancy berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berharap agar gelembung pelancongan di destinasi selain Langkawi dapat dipercepatkan.

Mengulas lanjut, Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata setakat ini perkhidmatan hotel dan destinasi pelancongan hanya dibenarkan untuk pelancong dalam negeri sama sahaja.

Namun, tegas beliau, kementerian komited memastikan aktiviti rentas negeri untuk tujuan pelancongan dibenarkan, sekali gus membantu mereka yang terjejas dalam sektor tersebut.


Pelancongan rentas negeri bakal diumumkan dalam masa terdekat?

*Jom kita pantau apa ahli Parlimen buat pada 13 hingga 15 September; 20 hingga 23 September; 27 hingga 30 September; 4 hingga 7 Oktober dan 10 hingga 11 Oktober di https://pulse.astroawani.com/sisitv-parlimenhttps://pulse.astroawani.com/sisitv-parlimen