PUTRAJAYA: Projek rintis Gelembung Perjalanan Domestik Langkawi dianggap berjaya, apabila majoriti daripada 1,005 responden kaji selidik yang dijalankan Tourism Malaysia berpuas hati untuk pergi melancong.

Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan, hasil kaji selidik juga mendapati majoriti responden mempunyai keyakinan tinggi untuk melancong dalam keadaan berjaga-jaga susulan kewujudan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang mencukupi bagi menangani pandemik COVID-19.

"Keperluan untuk menjalani ujian saringan COVID-19 serta syarat lengkap divaksinasi telah meningkatkan keyakinan pengunjung terhadap perjalanan yang selamat dan terjamin," menurut Tourism Malaysia dalam kenyataan itu.

Hasil kaji selidik pelancongan domestik oleh Bahagian Perancangan Strategik, Tourism Malaysia itu dijalankan di Langkawi dari 30 September hingga 6 Oktober 2021 bersempena pembukaan semula Langkawi kepada pelancong domestik bermula 16 Sept 2021.

Ia mengkaji tahap kepuasan sepanjang perjalanan, kualiti perkhidmatan penginapan, pengendali pelancongan dan syarikat penerbangan serta tahap keyakinan terhadap aspek berkaitan COVID-19 melibatkan kesihatan dan keselamatan.

Tourism Malaysia berkata kaji selidik itu mendapati majoriti responden keluar melancong hanya untuk mengelak daripada terperap di dalam rumah dan lebih gemar bersantai di premis penginapan pelancong di Langkawi.

Kaji selidik juga mendapati responden berminat untuk kembali melancong di dalam negara dengan destinasi pulau seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian menjadi pilihan setelah sekatan perjalanan ditarik semula.

-- BERNAMA