PUTRAJAYA: Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga mereka serta kerajaan dan rakyat Turkiye susulan gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter melanda negara itu pada Isnin.

Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam satu kenyataan berkata, beliau menyampaikan ucapan itu kepada rakan sejawatnya dari Turkiye Mevlut Cavusoglu menerusi panggilan telefon hari ini.

"Semasa perbualan di telefon, saya berjaya mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini berhubung tragedi itu," katanya.

BACA: Gempa kedua gegar Turkiye, mangsa maut kini lebih 1,500

Gempa Bumi | Turkiye, Syria dilanda gempa kedua

Bagi menzahirkan solidariti dan simpati kepada rakyat Turkiye, Zambry berkata Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan berlepas ke Istanbul pada 11.50 malam ini untuk membantu pihak berkuasa tempatan melaksanakan usaha mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan terjejas.

Zambry berkata kementerian itu, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral di Istanbul akan terus memantau perkembangan situasi terkini dengan teliti.

"Pada ketika ini, saya mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian gempa bumi itu," katanya.

Memandangkan gempa susulan dijangka berlaku, Zambry turut menasihatkan rakyat Malaysia di Turkiye untuk terus berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Menurut laporan media, gempa bumi yang melanda selatan Turkiye berhampiran bandar Gaziantep telah meragut 912 nyawa di Turkiye, manakala 476 lagi kematian direkodkan di Syria.

-- BERNAMA