KUALA LUMPUR: Kuartet Merdeka mahu generasi akan datang terus memelihara perpaduan dan kepelbagaian masyarakat yang menjadi kekuatan Malaysia demi kemakmuran, kesejahteraan serta keamanan negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata kepelbagaian dan perpaduan yang menjadi asas pembentukan negara perlu menjadi wadah yang diwariskan kepada generasi muda.

Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 itu berkata Malaysia dizahirkan daripada kepelbagaian masyarakatnya yang memperjuang kemerdekaan secara bersama serta berlandaskan perpaduan.

"Konsep perpaduan adalah penting bagi Malaysia malah tema Hari Kebangsaan pada tahun ini pun Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

"Perdana Menteri memilih suasana kebersamaan untuk menjadi falsafah dalam pengurusan negara," katanya dalam program bual bicara Agenda AWANI Merdeka Kuartet: Menyantuni Aspirasi Keluarga Malaysia yang disiarkan oleh Astro AWANI semalam.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang turut menjadi tetamu program itu, berkata Malaysia mencapai kemerdekaan kerana wujud persefahaman antara kaum dan setiap generasi muda perlu menghayati sejarah ini.

"Kejayaan terbesar Malaysia ialah dalam kepelbagaian kita dapat bersatu. Kepelbagaian adalah khazanah negara," katanya.

Beliau berkata perpaduan negara bermula dengan semangat toleransi, hormat-menghormati dan menghayati budaya orang lain oleh generasi terdahulu.

Bagi Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan, perpaduan yang menjadi budaya masyarakat Malaysia adalah kekuatan negara apabila dalam keadaan kelembapan ekonomi, krisis kesihatan dan isu politik negara mampu bangkit bagi mengatasi masalah pengangguran.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan, kadar pengangguran ialah 5.3 peratus dan dalam 12 bulan, ia turun kepada 4.3 peratus. Kini negara sedang berusaha capai kadar pengangguran 3.5 peratus yang boleh dianggap tiada pengangguran," katanya.

Beliau berkata dalam merencana pelbagai program untuk rakyat, kerajaan sentiasa memastikan semua lapisan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dibantu dan tidak ada yang tercicir.

Seorang lagi anggota Merdeka Kuartet iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula berkongsi semangat perpaduan masyarakat di Sarawak yang terdiri daripada pelbagai etnik serta suku kaum.

"Sarawak tidak memandang kepada perbezaan suku kaum. Kalau di satu-satu kawasan itu majoritinya masyarakat Iban, suku kaum lain akan belajar Bahasa Iban.

"Kalau Melanau, mereka juga akan belajar Bahasa Melanau malah mereka bangga dapat kuasai bahasa suku kaum kawan," katanya.

Beliau juga berkata di Sarawak, komuniti di setiap rumah ibadat seperti gereja, surau dan tokong saling bantu-membantu antara satu sama lain kerana perbezaan diraikan di Bumi Kenyalang sebagai satu aset.

-- BERNAMA