KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia akan melancarkan Generational Endgame Antirokok-18 (GEGAR-18) pada 25 April ini.

Program kerjasama dua kementerian tersebut akan turut menyaksikan dapatan kaji selidik sokongan pelaksanaan Generational Endgame (generasi penamat) terhadap aktiviti merokok dalam kalangan pelajar Tingkatan 4.

Astro AWANI akan turut membawakan secara langsung majlis pelancaran yang dijadual diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra, Selangor.

Pada Januari lalu, KKM memaklumkan akan menggubal akta baharu untuk melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk vape kepada generasi lahir selepas 2005.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berharap dasar ‘Generational Endgame’ dijangka dapat diluluskan di Parlimen pada Julai ini.