Hyundai Genesis sudah dilancarkan dengan rasmi untuk pasaran Malaysia baru-baru ini. Model ini adalah yang pertama daripada Hyundai Sime Darby Malaysia (HSDM) yang dikelaskan sebagai premium, dengan ciri-ciri yang bersaing dengan model-model daripada BMW, Mercedes, Lexus dan Infiniti.

Hyundai Genesis ini dijual pada harga RM388,921.52 (atas jalan, tidak termasuk insurans) dengan tiga pilihan warna. Pembeli juga diberi pilihan warna kemasan kabin – hitam, dan kuning air (dua tona).

Rekaan
Gril hadapan dengan elemen geometrik memang kelihatan dominan berdasarkan kepada falsafah Fluidic Sculpture yang ditambah baik. Tetapi, rekaan yang berani ini tidak diadaptasi ke bahagian belakang model ini, di mana ia lebih ringkas, namun masih lagi kelihatan menarik.

Terdapat perkongsian cara rekaan diantara Genesis baharu ini dengan Sonata, khususnya untuk mengambarkan bahagian papan pemuka yang leper. Sebuah skrin sentuh lapan inci menjadi perhatian sepertimana stereng empat jejari dengan pelbagai butang kawalan.

Kulit Nappa yang membaluti kerusi hadapan dan belakang cukup tinggi dan sesuai untuk mencerminkan tahap premium Genesis ini. Faktor keluasan juga amat penting dan dibuktikan dengan jumlah ruang sebanyak 123 kaki padu, dikatakan melebihi apa yang diberikan pesaing-pesaing utamanya. Genesis ini juga mempunyai ruang untuk kaki dan bahu yang paling baik di dalam kelasnya.

Teknologi
Sistem audio premium Lexicon memberi kualiti bunyi setimpal dengan segmen mewah menerusi 14 pembesar suara dan amplifier 900 watt. Dan isyarat audio yang ada tidak terlalu diganggu dengan kebisingan di luar kerana penggunaan peredam bunyi yang ada.

Sebuah HUD (Heads-up Display) mempamerkan maklumat-maklumat penting pemanduan pada cermin hadapan tanpa perlu menoleh jauh dari jalan raya di hadapan.

Meletakkan kereta di dalam kotak parkir jauh lebih mudah dengan teknologi 3600 Around View Monitoring System. Sistem ini terdiri daripada beberapa kamera yang memberi pandangan sekeliling kereta dari atas; dan sistem ini juga dibantu dengan sistem Smart Parking Assist.

Selain itu but juga boleh terbuka dengan sendiri apabila kunci ada di kawasan berdekatan untuk jangka masa lebih tiga saat.

(Klik untuk galeri penuh)

Enjin
Di bawah bonet adalah sebuah enjin V6 GDI bersesaran 3,778cc dengan direct injection. Output adalah 320hp dan tork sebanyak 397Nm. Kesemua ini disampaikan ke roda belakang menerusi kotak gear automatik lapan kelajuan yang turut membantu memberi pecutan 0-100km/j dalam masa 6.5 saat.


Keselamatan
Genesis mencatat keputusan cemerlang untuk ujian keselamatan Australia (ANCAP) dengan markah hampir sempurna. Tambahan lagi ia dilengkapi dengan Vehicle Safety Management (VSM), traction control, hill start assist dan sembilan beg udara.

Kehadiran pengguna jalan raya lain di zon buta (blind spot) dapat dikesan melalui sistem berasaskan radar BSD (Blind Spot Detection). Terdapat juga Rear Cross-Traffic Alert (RCTA) di mana ia memberi amaran ada objek yang melintas ketika pemandu sedang cuba undur keluar dari kotak letak kereta.

Pembelian Hyundai Genesis ini didatangkan dengan jaminan 5 tahun atau 100,000km (termasuk servis percuma dalam masa) ini dan jarak servis adalah 10,000km. Lebih menarik adalah jaminan tambahan untuk enjin dan kotak gear bagi 8 tahun atau 300,000km – hanya untuk Genesis dan Sonata YF baharu. Turut dibekalkan adalah perkhidmatan tunda kereta 24-jam, sepertimana yang diberikan kepada semua pembeli kenderaan Hyundai daripada HSDM.

Nota: Semua pembeli Genesis mendapat keistimewaan dari segi keahlian dua tahun untuk ‘The Leader’. Ini adalah sebuah servis bantuan khas (concierge) yang memberi pelbagai perkhidmatan dan kelebihan termasuk akses ke Plaza Premium Lounge di lapangan terbang terpilih dalam Malaysia. Selain itu, turut mendapat khidmat lebih peribadi ketika membuat tempahan hotel atau perjalanan.

(Klik untuk galeri penuh)