KUANTAN : Kegiatan sekumpulan individu mencuri tong gas di beberapa premis perniagaan sekitar daerah ini terbongkar dengan penahanan tiga lelaki termasuk seorang warga asing.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 27 hingga 32 tahun ditahan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Kuantan.

"Penahanan dua suspek yang merupakan warga tempatan pada Sabtu lalu di hadapan Bangunan Tabung Haji Jalan Bukit Ubi, di sini.

"Pemeriksaan dalam kereta yang dinaiki suspek menjumpai empat tong gas di bahagian tempat duduk belakang, empat tong gas dan sebatang pemutar skru di bahagian but belakang kenderaan itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Khamis.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut, pihak polis kemudian menahan lelaki warga asing dan merampas 42 tong gas di sebuah stor di kawasan Perindustrian Semambu.

Menurutnya, siasatan awal terhadap lelaki warga asing itu mendedahkan suspek membeli dan menjual tong gas secara haram.

"Susulan itu, kita menahan ketiga-tiga suspek. Dua suspek warga tempatan yang tidak bekerja direman bermula 24 hingga 30 Disember ini. Kedua-dua suspek ini mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan narkotik.

"Suspek ketiga pula tidak mempunyai dokumen lengkap direman bermula 28 hingga 30 Disember ini," ujarnya.

Beliau menambah, kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah/premis dan curi yang boleh dikenakan hukuman penjara boleh sampai lima tahun dan denda.

Jika kesalahan yang dimaksudkan itu ialah mencuri maka tempoh penjara hingga 14 tahun, manakala kesalahan kali kedua boleh dikenakan denda atau sebat.

Jelas Wan Mohd Zahari, siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan
 kerana menyimpan harta curi yang boleh dikenakan
 hukuman penjara boleh sampai lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, pihak polis berjaya menyelesaikan sembilan kes pecah premis perniagaan seperti di kedai dobi layan diri, kedai makan, kedai runcit dan medan selera yang diterima sejak Oktober lalu.

"Dalam kejadian ini mangsa akan mengalami kerugian antara RM140 ke RM2,000 mengikut harga semasa gas bersama tong.

"Anggaran kerugian keseluruhan bagi kes pecah premis dan curi tong gas ini mencecah RM20,000,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya terkesan individu atau kumpulan yang mencurigakan di sekitar kawasan awam. - Sinar Harian