GEORGE TOWN: ‘Geng Merz’ yang aktif melakukan jenayah samun kenderaan mewah di Pulau Pinang tumpas selepas polis menahan empat individu dalam beberapa siri tangkapan di negeri itu termasuk di Kedah dan Perak.

Penahanan dibuat selepas kumpulan bersenjatakan parang itu menyamun dua buah kereta mewah jenis Mercedes Benz di sebuah pusat servis kereta di Jalan Pengkalan Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah pada 21 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd Ra’ais berkata, polis yang menerima laporan daripada pemilik pusat servis membuat gerakan mengesan suspek bermula pada 21 Oktober hingga 11 November lepas.

Keempat-empat suspek yang ditahan berusia 22 hingga 26 tahun itu ditahan di sekitar Kulim dan Sungai Petani, Kedah serta Teluk Intan, Perak.

Rahimi berkata, polis juga berjaya menemui semula kereta Mercedes Benz yang dicuri di Serdang, Kuala Lumpur dan Teluk Intan .

Siasatan awal polis percaya kumpulan itu menjual kenderaan mewah tersebut untuk dijual kepada pihak ketiga.

“Setakat ini kita baru mengesan (kegiatan samun)… apa pun siasatan masih dijalankan terhadap kumpulan ini. Kita juga (siasat) pada kegiatan lain yang dibuat (kumpulan samun),” kata  beliau dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, pada Sabtu.

Menurut Rahimi lagi, kesemua kereta mewah yang dicuri itu adalah kepunyaan orang awam dan kegiatan jenayah itu turut dilakukan di pusat servis kenderaan berkenaan.

Rahimi berkata, ujian saringan air kencing ke atas empat suspek mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, keempat-empat suspek juga didapati mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379a Kanun Keseksaan.

Dalam masa sama, Rahimi berkata, selain kes samun, polis Perak turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan selepas salah seorang suspek bertindak melanggar kereta polis sewaktu cubaan melarikan diri daripada di tangkap dalam kejadian Teluk Intan.