KUALA LANGAT: Polis giat memburu empat penjenayah bertopeng yang menyamun dua kediaman di Taman Banting dan Simpang Morib, Banting di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima dua laporan polis mengenai kejadian itu kira-kira jam 6.45 dan 7 pagi.

Menurutnya, kes itu melibatkan sekumpulan lelaki yang memakai sarung muka dan bersenjatakan parang.

"Empat suspek terbabit memasuki rumah mangsa dengan cara memanjat pagar sebelum merompak mangsa.

"Kedua-dua kejadian itu melibatkan keseluruhan kerugian berjumlah RM13,000," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, usaha mengesan kesemua suspek masih giat dijalankan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan dengan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika disabit kesalahan.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pihaknya di talian 03-31872222 atau balai polis berdekatan. - Sinar Harian