Gerakan berhasrat sertai Perikatan Nasional - Presiden

Bernama
September 13, 2020 14:10 MYT
Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berucap pada Persidangan Perwakilan Negeri Ke-45, Wanita dan Pemuda Ke-33 Gerakan Negeri Sembilan di Seremban 2, hari ini. - BERNAMA
Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) hari ini menyatakan hasrat untuk menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN), yang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presidennya Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, keputusan itu diambil setelah dipersetujui semua ahli jawatankuasa (AJK) pada mesyuarat Jawatankuasa Pusat Gerakan, yang berlangsung pada Mei lepas.
"Kita sudah bawa pembentangan itu kepada AJK (Gerakan) pusat dan semua setuju dengan hasrat bersama PN. Memang kita juga sudah tunjukkan hasrat kepada perdana menteri, bahawa Gerakan ingin bersama dengan PN," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri Sembilan ke-45, serta Persidangan Wanita dan Pemuda Gerakan ke-33 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Lau berkata ketika ini pihaknya sedang menunggu masa yang sesuai, untuk mengadakan perbincangan bersama PN, bagi tujuan tersebut.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, Gerakan merekodkan keputusan mengecewakan, apabila kalah di kesemua 11 kawasan Parlimen dan 31 kawasan Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya.
Susulan itu, pada 23 Jun 2018, Gerakan mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN), untuk menjadi sebuah parti bebas yang konstruktif.
Terdahulu, mengenai persidangan itu Lau berkata, ia bertujuan mempersiapkan anggota bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
-- BERNAMA
#Dominic Lau Hoe Chai #GERAKAN #Muhyiddin Yassin #Parti Gerakan Rakyat Malaysia #Perdana Menteri #Perikatan Nasional #PN