GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow digesa agar membuat laporan polis sekiranya benar dakwaan bahawa beliau telah ditipu oleh sebuah syarikat swasta berhubung tawaran sumbangan dua juta dos vaksin Sinovac kepada negeri itu.

Jurucakap Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia Negeri Pulau Pinang, Mohd Aswaad Jaafar berkata, sekiranya dakwaan itu benar, ia merupakan kes penipuan yang serius yang sekali gus mencalar imej baik Kerajaan Negeri.

Gesaan itu dibuat parti tersebut susulan dakwaan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa tawaran vaksin yang dibuat kepada Pulau Pinang itu datang daripada syarikat yang ‘bogus’ dan selain satu penipuan. 

“Kami berpendapat adalah perlu untuk Ketua Menteri membuat laporan polis kerana beliau mesti mempertahankan nama baik beliau sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Kredibiliti beliau mungkin telah terjejas kerana kes ini telah mencerminkan beliau seorang Ketua Menteri yang lemah, tidak berkemampuan dan berkebolehan untuk memimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” kata Mohd Aswaad kepada wartawan selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada Khamis.

Kon Yeow sebelum ini memohon kerajaan Persekutuan meluluskan sumbangan vaksin tersebut dari sebuah syarikat swasta untuk kegunaan rakyat negeri itu.

Beliau dikatakan mendapat tawaran tersebut daripada seorang individu bernama Yong Chee Kong dari Kota Kinabalu, Sabah yang mendakwa sebagai Pengarah Urusan di Syarikat Xintai Development Enterprise Ltd yang berpangkalan di Hong Kong.

Bagaimanapun, menurut Khairy, semakan yang dilakukan dengan mendapati bahawa urus niaga pembelian vaksin antara syarikat pembekal Sinovac Biotech Ltd dengan individu tersebut tidak pernah berlaku.

Mohd Aswaad dalam masa sama memohon penjelasan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung tawaran daripada syarikat tersebut yang dilihat meragukan.

“Tidakkah pihak Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri Pulau Pinang merasa ragu dengan kesahihan surat yang ditulis oleh Yong Chee Kong yang tanpa letterhead (kepala surat)? 

“Adakah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Ketua Menteri melakukan semakan latar belakang syarikat Xintai Development Enterprise Ltd dan individu yang menawarkan diri memberi sumbangan vaksin itu sebelum mengutus surat kepada Kementerian Kesihatan Malaysia?” soal Mohd Aswad lagi.

Sehubungan itu, Gerakan, kata beliau, tampil membuat laporan polis demi menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat Pulau Pinang.

Jelas Mohd Aswaad,  sekiranya benar dakwaan Khairy, ternyata Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berjaya ditipu oleh syarikat terbabit yang melibatkan sumber kewangan melebihi RM100 juta.

Malah, dengan apa yang berlaku juga, tegasnya, akan menjejas keyakinan rakyat kepada kebolehpercayaan maklumat kerajaan mengenai vaksin.

Mohd Aswaad juga berkata, sekiranya siasatan polis mengesahkan kes tersebut merupakan penipuan, justeru Gerakan akan meminta Kon Yeow agar meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya telah menerima dua laporan polis daripada dua cabang parti politik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.