Geran Khas Prihatin RM912 juta akan disalurkan kepada 304,000 PKS mikro mulai 30 Nov - Tengku Zafrul

Bernama
November 23, 2020 20:07 MYT
Tengku Zafrul berkata, di bawah GKP 1.0 lebih 545,000 PKS mikro telah menerima manfaatnya dengan jumlah bantuan sebanyak RM1.63 bilion. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Peruntukan Geran Khas Prihatin (GKP) 2.0 meningkat kepada RM912 juta daripada peruntukan asal sebanyak RM600 juta, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata hampir 304,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro layak menerima, lebih daripada sasaran asal iaitu 200,000 PKS mikro.
"Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan semasa permohonan GKP 2.0 mulai 30 Nov, 2020," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Semakan status kelulusan boleh dibuat mulai 27 Nov di portal GKP, https://gkp.hasil.gov.my.
Setiap permohonan yang diterima Lembaga Hasil Dalam Negeri telah disemak silang dengan data agensi kerajaan yang berkaitan termasuk di peringkat pihak berkuasa tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Tengku Zafrul berkata jumlah keseluruhan penerima GKP 1.0 dan GKP 2.0 pada tahun 2020 adalah hampir 849,000 PKS mikro dengan jumlah bantuan kewangan sebanyak RM2.55 bilion.
GKP 2.0 di bawah pakej rangsangan ekonomi KITA PRIHATIN adalah bantuan kewangan sebanyak RM3,000 secara one-off (sekali) kepada PKS mikro yang layak dan tidak pernah menerima GKP sebelum ini.
Ia bertujuan untuk meringankan beban kewangan perniagaan ekoran penularan pandemik COVID-19 dan meningkatkan produktiviti pengeluaran serta perkhidmatan demi kelangsungan PKS mikro.
Di bawah GKP 1.0 lebih 545,000 PKS mikro telah menerima manfaatnya dengan jumlah bantuan sebanyak RM1.63 bilion.
-- BERNAMA
#Tengku Zafrul Aziz #Geran Khas Prihatin #Menteri Kewangan #perusahaan kecil dan sederhana #PKS #pks mikro #sasaran #gkp #LHDN #bantuan #kewangan #pakej rangsangan ekonomi #KITA PRIHATIN #perniagaan #COVID-19