Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa ibu bapa supaya mengamalkan pendirian "tolak ansur sifar" terhadap perbuatan menyalahgunaan dadah dalam kalangan anak masing-masing.

Naib pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata penagihan dadah, yang menjadi ancaman nombor satu terhadap negara sejak tiga dekad lepas, kini terus merupakan suatu masalah besar.

Keadaan ini begitu membimbangkan lebih-lebih lagi memandangkan 72 peratus daripada penagih dadah di negara ini terdiri daripada mereka yang berusia antara 19 dan 39 tahun, katanya.

Sejajar dengan itu, beliau menasihati ibu bapa supaya meningkatkan pengetahuan tentang bahaya dadah dengan menyertai program antidadah anjuran agensi kerajaan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan atau badan bukan kerajaan.

Beliau berkata ibu bapa perlu mendidik anak masing-masing supaya membenci dadah dan bertindak sebagai kaunselor antidadah kepada mereka.

"Mereka boleh melibatkan diri secara lebih aktif dalam persatuan ibu bapa dan guru dan bekerjasama dengan guru untuk menganjurkan lebih banyak kempen antidadah di sekolah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Lee berkata langkah Malaysia untuk menjadi sebuah negara bebas dadah menjelang 2015 memang patut dipuji.

Bagaimanapun, kata beliau, langkah itu memerlukan komitmen, keazaman politik dan penyertaan penuh semua pihak, termasuk masyarakat, ibu bapa dan guru.