SHAH ALAM: Pengarah Strategik Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat sepenuhnya insiden-insiden pencerobohan, kecurian dan kebocoran data peribadi yang terjadi sejak lima tahun kebelakangan ini.

Ujar beliau, gesaan itu bertujuan bagi mengenal pasti langkah-langkah menyeluruh dalam memperkasa keselamatan siber negara dan mendapatkan keadilan buat mangsa-mangsa kecurian data peribadi serta jenayah ‘scammer’.

“Data peribadi kita perlu dilihat sebagai aset dan khazanah negara. Oleh itu keselamatan data peribadi mesti diberi perhatian amat serius, dihormati sepenuhnya, dan dilindungi sepanjang masa,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Jumaat.

Sebuah syarikat komersial melalui kenyataan pada Khamis mendedahkan bahawa terdapat insiden keselamatan siber di mana data kad pengguna mungkin telah diceroboh.

Pada Khamis, Fahmi mempersoalkan kelewatan syarikat komersial tersebut dalam memaklumkan mengenai pencerobohan data yang berlaku terhadap organisasi tersebut pada Mei lalu.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, insiden seperti itu menjadi bukti bahawa Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 mesti dipinda segera untuk mewajibkan pihak syarikat memberi notis sepantas mungkin kepada pihak berkuasa dan mangsa-mangsa apabila berlaku pencerobohan atau kecurian data.

“Data peribadi kita perlu dilihat sebagai aset dan khazanah negara. Oleh itu keselamatan data peribadi mesti diberi perhatian amat serius, dihormati sepenuhnya, dan dilindungi sepanjang masa.”

Pada masa yang sama, menurutnya, institusi kewangan serta badan-badan seperti Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan lain-lain perlu menjadi penggerak utama bagi mengesyorkan mekanisme pampasan termasuk kewangan kepada mangsa-mangsa kecurian data peribadi.

“Mangsa-mangsa ini akan mengalami trauma, kegusaran dan kerisauan tentang data peribadi mereka yang telah dicuri, serta aktiviti jenayah yang mungkin berlaku berkait data mereka itu.

“Malah jika mereka nanti menjadi mangsa ‘scammer’, sudah pasti akan ada yang menjadi murung atau mengalami masalah kesihatan mental yang lain,” ujarnya. -- Sinar Harian