1. KECEMERLANGAN merupakan satu perjalanan dan bukannya destinasi. Inilah konsep yang saya amalkan sejak dilantik sebagai Menteri Kewangan pada Mac 2020. Pada ketika itu juga, COVID-19 mula menjejaskan ekonomi negara dan kesihatan awam.

2. Sepanjang dua tahun yang lalu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai pakej bantuan berjumlah RM530 bilion, dengan majoritinya merupakan langkah jangka pendek dan sederhana. Pada masa yang sama, saya juga telah membincangkan reformasi jangka panjang dengan rakan sekerja di MOF kerana COVID-19 ini telah mengetengahkan beberapa isu struktur dalam ekonomi kita.

3. Untuk mencapai matlamat ini, saya sentiasa meminta rakan sekerja di MOF untuk menggunakan konsep 'pemikiran sistem' atau systems thinking, dengan pendekatan analitik yang holistik. Konsep ini memberi tumpuan kepada bagaimana setiap bahagian dalam sesebuah ekosistem ini saling berkait rapat dan melengkapi, serta bagaimana sistem ini berfungsi dalam konteks ekonomi tempatan atau global.

4. Saya percaya bahawa sebuah ekosistem yang dibina dengan baik berpotensi mengelak atau menyelesaikan pelbagai isu atau masalah dengan mudah. Sebab itulah, sejak lebih setahun yang lalu, visi penyusunan semula ekonomi telah kami gandingkan dengan pengemaskinian peranan, fungsi dan keupayaan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Ini amat penting kerana walaupun Kerajaan melancarkan Program Transformasi GLC selama 10 tahun pada 2005 untuk menambah baik prestasi GLIC/GLC, banyak kemajuan yang dirancang dalam pelbagai bidang telah tergendala akibat COVID-19 dalam tempoh dua tahun lalu.

5. Sebelum saya berkongsi usaha penyusunan semula GLIC/GLC oleh MOF, adalah penting untuk kita menyingkap kembali latar belakang penubuhan dan peranan mereka dalam pembangunan negara Malaysia. Bermula dari kuasa elektrik yang menyinari kediaman kita, bahan api yang menggerakkan kenderaan, bekalan air bersih bagi pelaksanaan ibadah dan rutin harian, rezeki dari beras yang ditanak menjadi nasi, lebuh raya yang berperanan sebagai penghubung penting merentas sempadan-sempadan negeri, dana yang menjamin kesejahteraan hari tua, sehingga ke bank yang memudahcara transaksi kewangan, perkhidmatan daripada pelbagai GLIC/GLC amat meluas dalam kehidupan harian sehingga kita kadangkala terlupa akan betapa pentingnya peranan mereka dalam melancarkan rutin kita saban hari.

6. Dasar kerajaan memperkasakan GLIC/GLC telah memberi keupayaan untuk mereka melebarkan sayap ke seluruh dunia. Contohnya, PETRONAS bukan sahaja berperanan penting membangunkan sosioekonomi negara sejak penubuhannya pada tahun 1974, malah ia juga telah berkembang menjadi sebuah syarikat Fortune 500 dengan operasi global. Contoh GLIC/GLC lain ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, yang diasaskan pada tahun 1951 untuk menguruskan dana persaraan ahli dan kini merupakan salah satu dana persaraan terbesar di dunia.

7. Pelbagai GLIC/GLC juga telah memainkan peranan penting dalam membolehkan PKS dan perniagaan-perniagaan dalam pelbagai sektor dan industri untuk berkembang maju, terutamanya melalui ekosistem dan program vendor masing- masing. Contohnya, pembangunan Wilayah Iskandar oleh Khazanah Nasional memanfaatkan banyak PKS dalam sektor hartanah. Syarikat korporat seperti Axiata, Maybank, CIMB dan Kumpulan UMW juga telah berjaya mengembangkan sayap perniagaan mereka ke rantau ASEAN, dan secara langsung telah memanfaatkan banyak syarikat lain.

8. Malah, jika agensi yang disokong Kerajaan tidak membina infrastruktur strategik seperti lebuh raya, pengangkutan awam atau rangkaian 5G, sektor swasta tidak mungkin melabur dalam projek-projek tersebut. Pelaburan strategik sebegini ini juga telah membuka jalan dan menggalakkan sektor swasta untuk menceburi pasaran dan industri baharu. Pendek kata, sejak beberapa dekad, Kerajaan telah banyak membuat pelaburan strategik di dalam GLIC/GLC untuk mencapai matlamat dasar-dasar yang digariskan di dalam pelbagai Rancangan-Rancangan Malaysia.

9. Apa yang amat jelas, GLC juga merupakan agen pelaksana dasar yang penting untuk membantu Malaysia pulih daripada krisis ekonomi dan kesihatan awam yang paling serius dihadapi oleh Malaysia. Tempoh satu setengah tahun yang lalu telah dimanfaatkan oleh MOF untuk menyusun semula dan menjelaskan lagi mandat GLIC/GLC bagi menambah baik keupayaan mereka untuk membantu Kerajaan memulihkan ekonomi yang teruk dihentam badai pandemik ini. Di antara inisatif yang diperkenalkan adalah pertumbuhan ekosistem baharu, strategi pemulihan aset dan piawaian pelaburan mampan.

10. Inisiatif-inisiatif ini dibangunkan dan dilaksanakan mengikut prinsip pemikiran sistem (systems thinking) bagi meminimumkan pertindihan, memaksimumkan kesalinglengkapan di antara mereka dan mengoptimumkan sumber awam. Usaha ini dijangka mengambil tempoh lima tahun, dan kita telah giat dalam inisiatif penyusunan semula selama lebih setahun.

11. Sebagai contoh, pelbagai KPI telah ditetapkan untuk memastikan GLIC/GLC yang berorientasikan keuntungan tidak hanya berfikir untuk meraih keuntungan, tetapi juga mempunyai pelan hala tuju yang jelas untuk melaksanakan prinsip-prinsip amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), diganding dengan strategi untuk memacu fokus dan pelaburan dalam sektor-sektor pertumbuhan masa hadapan.

12. Pendekatan berdasarkan konsep pemikiran sistem ini juga merupakan prinsip asas bagi perluasan skop GLIC/GLC Disaster Relief Network (GDRN) yang telah dilancarkan semula oleh Perdana Menteri pada Mac lalu dengan nama baharunya – GLC Demi Rakyat dan Negara. Di samping bantuan bencana, skop GDRN yang diperluaskan ini juga telah diselaraskan lebih baik dengan sumbangan impak sosial sedia ada GLC/GLIC dalam tiga bidang utama – pendidikan, kehidupan mampan dan kesejahteraan (termasuk alam sekitar), serta bantuan kemanusiaan. Pada masa yang sama, ia juga bertujuan menambahbaik proses pemantauan dan pencapaian inisiatif tanggungjawab sosial korporat GLIC/GLC.

13. Baru-baru ini pada 15 April, MOF juga telah melancarkan Prinsip Tadbir Urus Baik (PGG) yang bertujuan menjadi panduan kepada GLIC/GLC dalam tiga prinsip utama yang melibatkan Lembaga Pengarah - Kepimpinan dan Keberkesanan Lembaga Pengarah, Pengukuhan Komposisi Lembaga Pengarah, serta Menggalakkan Keberkesanan dan Ketelusan Pelaburan. Di antara matlamat di bawah prinsip utama tersebut adalah perkara-perkara berkaitan ESG, seperti memastikan lebih ramai wanita dalam barisan lembaga pengarah, menggunapakai kriteria yang betul dan melantik pengarah berdasarkan kebolehan, serta memastikan pembangunan profesional mereka untuk prestasi korporat yang optimum.

14. Salah satu sasaran utama ialah untuk memastikan operasi GLIC/GLC menjadi lebih teguh, agar mereka boleh menyumbang kepada pembangunan negara dengan lebih berkesan dan bermakna, serta membantu Malaysia mengukuhkan daya tahannya untuk menghadapi sebarang kejutan atau ancaman wabak yang lain di masa hadapan.

15. Matlamat ini tidak mungkin dicapai jika kita tidak mengubah cara kita menangani isu-isu struktur. Sebaliknya, dengan memastikan seluruh ekosistem dilihat secara holistik, kesemua GLIC dan GLC dapat melihat dengan jelas bagaimana sumbangan mereka menyokong agenda pembinaan negara secara keseluruhan.

16. Melangkah ke hadapan, saya yakin dengan sokongan semua pihak berkepentingan, kita akan dapat meneruskan penyusunan semula yang lebih menyeluruh bagi menjadikan GLIC/GLC sebagai pemangkin kepada pemulihan Malaysia, serta membuka jalan untuk negara kita mencapai tahap pembangunan lestari, InsyaAllah.



*Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Kewangan Malaysia sejak Mac 2020.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.