KUALA LUMPUR:Goldman Sachs gagal memujuk seorang bekas pegawainya untuk memulangkan kembali wang bayaran berkait 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor Bloomberg.

Gary Cohn mejadi satu-satunya bekas pegawai bank itu yang masih belum melunaskan bayaran bernilai AS$10 juta.

Laporan Bloomberg yang memetik sumber berkata, Goldman bukan sahaja gagal memujuk, bahkan Cohn menawarkan diskaun bayaran.

Sumber itu berkata, tidak banyak pilihan yang dapat dilakukan Goldman untuk memujuk Cohn yang kini masih lagi berunding dengan bank itu.

Nilai wang yang diterima Cohn merupakan sebahagian dari AS$67 juta yang dinikmati beberapa bekas pegawai Goldman atas urusan berkait 1MDB.

Cohn merupakan bekas presiden bank itu sejak lebih sedekad lalu.

Selain beliau, bekas ketua pegawai kewangan, David Viniar juga diminta memulangkan kembali wang 1MDB dan sudah berbuat demikian.

Selepas mengaku bersalah, Goldman meletakan kesalahan itu kepada lima bekas pegawai tertingginya dan meminta mereka menjelaskan semua bayaran yang diterima.

Selain bayaran AS$67 juta itu, Goldman juga akan memotong AS$31 juta gaji Ketua Pegawai Eksekutif David Solomon dan tiga timbalannya pada tahun ini.

Goldman sebelum ini didenda AS$5 bilion oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat selepas mengaku bersalah terlibat dalam kes rasuah asing terbesar dalam sejarah pihak berkuasa negara itu.